Malaysia Dateline

Rafizi lilin yang membakar diri, kata Presiden Amanah

Simpati umum terus diterima ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dihukum penjara 30 bulan oleh mahkamah atas dakwaan membocorkan maklumat kewangan ahli keluarga ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan beberapa syarikat milik mereka.

Dakwaan dibuat di bawah Akta Bank & Institusi Kewangan (BAFIA).

Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan naib presiden PKR itu sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

“Semalam, YB Rafizi Ramli telah dihukum oleh mahkamah. Bahasa mudahnya beliau akan merengkok dalam penjara. Kita menghormati keputusan mahkamah yang telah menghukum YB Rafizi dengan hukuman 30 bulan penjara.

“Selama ini beliau telah berjaya membongkarkan pelbagai bentuk penyelewengan oleh pemerintah BN walaupun terpaksa menghadapi risiko yang amat besar.

“Kepada kita semua, YB Rafizi menjadi lilin membakar dirinya sendiri demi mencerahkan sekelilingnya. Itulah resam pahlawan perjuangan, kadang kala terpaksa berkorban diri untuk kebahagian orang lain,” ujarnya.

Menurut Mohamad, pendedahan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah BN khas dalam isu NFC dan juga isu-isu lain memang telah membuka mata rakyat terhadap penyelewengan kewangan negara dan rasuah yang berlaku.

“Apapun keputusan terhadap YB Rafizi, perjuangan beliau itu akan dinilai oleh rakyat, oleh alam dan yang paling penting akan dinilai oleh Yang Maha Pencipta,” ujar beliau.

Mohamad seterusnya menyeru rakyat agar memastikan kekalahan Umno-BN dalam PRU14 akan datang dan menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi bersama Rafizi.

Mahkamah Sesyen Shah Alam 7 Feb lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad setelah didapati bersalah melanggar Akta Bank dan Intitusi Kewangan kerana membocorkan akaun National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik keluarga Shahrizat.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar berkata, pendakwa telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang munasabah.

“Pada analisa maksima, mahkamah mendapat pihak pembelaan gagal membangkitkan sebarang keraguan, bermakna pendakwa berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah,” kata hakim Zamri ketika membacakan keputusan itu.