Rafizi mahu dedah satu lagi skandal pembaziran BN pada kempen PRK

Naib Presiden Keadilan Rafizi Ramli akan mula berkempen esok dengan membawa membawa mesej Cukai Barangan dan Perkhidatan (GST) yang dianggap bertentangan dengan sistem ekonomi dan membebani rakyat pada Pilihanraya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Wahid Omar masih lagi mempertahankan dasar-dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang terbukti membebankan rakyat.

“Tan Sri Wahid Omar dilaporkan berkata tindakan melaksanakan GST dan memotong subsidi adalah tepat kerana ia mengukuhkan ekonomi negara.

“Saya menentang pemotongan subsidi yang bermula dari tahun 2010 pada awal penggal Perdana Menteri pada ketika masih popular dengan rakyat kerana tindakan itu (memotong subsidi) memangsakan rakyat termiskin.

“Tanggungjawab sebuah kerajaan ialah membela golongan paling daif (“most vulnerable group”) dengan memastikan ekonomi berkembang secara adil; bukannya memotong peruntukan orang miskin untuk membayar hutang yang gagal dibayar orang kaya.

“Atas dasar ini juga saya lantang menentang GST. Cukai ini menjadi satu perkara yang zalim kerana fakir miskin dipaksa membayar cukai yang sama dengan orang kaya untuk menutup lubang hutang kerajaan dek kerakusan orang-orang kaya elit membolot kekayaan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ahi Parlimen Pandan ini juga menjelaskan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kali ini sebenarnya menjadi medan untuk rakyat memilih satu dari dua sistem ekonomi yang jelas bertentangan.

“Memilih Barisan Nasional bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk mengekalkan sistem ekonomi yang pro orang kaya dan menekan rakyat terbanyak melalui GST, menghapuskan subsidi, memotong pembiayaan pendidikan rakyat dan lain-lain; atau

“Memilih Pakatan Harapan bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk menghapuskan sistem ekonomi Barisan Nasional dan memperkenalkan sistem ekonomi baru yang pro-rakyat (bermaksud menghapuskan GST, memberi subsidi kepada yang memerlukan, mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan pendidikan bermutu pada kos yang minima),” jelasnya.

Bermula dari esok (Rabu, 8 Jun 2016) sehingga hari pengundian, beliau akan berada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar setiap hari untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuat pilihan berdasarkan pertimbangan bebanan rakyat yang akan beliau huraikan dalam siri ceramahnya.

“Saya akan mulakan siri pendedahan bersempena dengan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini pada jam 12 tengahari di Bilik Operasi Utama Amanah/Pakatan Harapan di Kuala Kangsar.

“Pendedahan ini akan berterusan setiap hari sehinggalah hari-hari terakhir kempen.” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)