Malaysia Dateline

PRN Melaka: Rafizi nasihat jangan buat keputusan dengan mencari jalan pintas

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Beliau berpendapat perangai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mempunyai rekod mengeluarkan kata-kata yang keji bukan calon yang layak mewakili PKR dan PH.

“Mungkin ada keghairahan seorang dua pimpinan PKR yang melihat ini peluang untuk menjadi orang besar di Melaka, tetapi janganlah keghairahan itu mempengaruhi keputusan dengan mencari jalan pintas,” katanya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu mengulas demikian selepas dakwanya bertubi-tubi menerima mesej menyatakan kegusaran tindakan PH mengalu-alukan beberapa watak kontroversi dalam menghadapi PRN Melaka.

“Rakyat menjadi mangsa berdepan risiko wabak Covid-19 gara-gara perebutan kuasa dan kekayaan sesama pimpinan Umno/BN/PN

“Watak-watak ini mempunyai rekod buruk. Akhlak ADUN yang suka memaki hamun bukanlah jenis calon yang kita mahu tampilkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Rafizi yang pada 2019 memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik itu bagaimanapun tidak memperincikan siapa “watak-watak” yang dimaksudkannya.

“Pandangan saya ini atas rasa tanggungjawab sebagai seorang rakyat, pengundi dan aktivis veteran PKR/PH selama ini.

“Kalau tak nak dengar pun, lantaklah tapi rakyat akan menilai,” katanya yang kini memberi tumpuan kepada bidang kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) sambil menyertakan emoji ketawa.

Kelmarin, empat ADUN Melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui Umno.

Mereka ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Kelmarin, keempat-empatnya menghadiri perjumpaan ahli PKR Melaka bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Mereka juga sebelum itu hadir pada pertemuan dengan Anwar dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana yang turut disertai Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.