Rafizi Ramli seorang politikus kritis dan berkualiti, kata Pemuda AMANAH

Rafizi Ramli seorang politikus kritis dan berkualiti, kata Pemuda AMANAH

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilihat sebagai seorang politikus kritis dan mempunyai kualiti sebagai penyemak dan pengimbang yang berkesan kepada kerajaan pada suatu ketika dahulu.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, ia susulan pendedahan demi pendedahan yang dibuat beliau terhadap projek-projek dan syarikat-syarikat berkepentingan awam.

Hasnul Zulkarnain Munaim

“Pendedahan itu termasuklah berkaitan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), Tabung Haji, Felda, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa lagi yang lain.

“Namanya juga mula melonjak apabila berani berdebat bersama YB Khairy Jamaluddin mengenai isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Beliau telah membuka satu dimensi baharu terhadap politik Malaysia dan menarik minat ramai anak muda untuk terlibat dalam dunia politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyingkap kembali zaman politik bekas Ahli Parlimen Pandan itu, Hasnul berkata, Rafizi bukan sahaja telah berjaya membuka mata rakyat di negara ini, malah ramai pemimpin turut terdorong untuk mengikuti program yang disusun oleh beliau.

“Sumbangan besar beliau adalah menggerakkan kesedaran terhadap perubahan dalam kepimpinan negara melalui tema ‘Bina Semula Negara’ menerusi entiti di bawah kendaliannya iaitu Invoke.

“Antara pendekatan yang benar-benar memberi isyarat jelas kepada rakyat akan ketelusan pemimpin pembangkang pada ketika itu adalah, apabila beliau membuat kempen supaya calon yang ingin bertanding membuat pengisytiharan harta.

“Walau apapun tanggapan umum yang diberikan kepadanya, saya secara peribadi merasakan Rafizi adalah seorang ahli politik yang telah memainkan peranan yang cukup besar dalam membina budaya baharu politik di Malaysia,” katanya sambil menyifatkan negara telah kehilangan satu aset yang bernilai dalam arena politik tanah air jika Rafizi tetap dengan keputusannya meninggalkan dunia politik.

Memetik laporan Berita Harian pada kelmarin, Rafizi mengumumkan beliau tidak akan kembali ke arean politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk mempelajari kehidupan baharu kerana proses pembelajaran itu akan menjadikan dirinya seorang insan lebih baik.