Malaysia Dateline

Rafizi saran Kerajaan laksana pengisytiharan harta berkala elak buka ruang sogokan

Kerajaan disarankan wajar menghalusi hubungan di antara pelobi dan pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan, untuk mengurangkan ruang mereka menawarkan sogokan kepada pegawai kerajaan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan terus memperkenalkan peraturan-peraturan baru untuk mengetatkan lagi kod etika pimpinan kerajaan dan pegawai-pegawai mereka.

“Contohnya, Kerajaan Persekutuan boleh menguatkuasa pengisytiharan kepentingan (“declaration of interest”) bagi setiap perjumpaan di antara pihak swasta/pelobi dengan menteri dan pegawai-pegawai mereka.

“Jika kita boleh menyemak siapa dan apa tujuan satu-satu kumpulan berjumpa menteri, ini akan membuatkan menteri dan pelobi lebih berhati-hati kerana pertemuan mereka itu direkodkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung salahguna kuasa dalam membayar hutangnya sebanyak RM800,000 supaya namanya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Menurut bekas ahli parlimen Pandan ini lagi, beliau percaya Kerajaan Persekutuan perlu memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan harta berkala secara terbuka kepada rakyat.

Beliau mencadangan penglibatan semua seperti:

i. Perdana Menteri dan seluruh anggota Jemaah Menteri, termasuk keluarga mereka
ii. Menteri-menteri besar dan seluruh Exco, termasuk keluarga mereka
iii. Semua ahli parlimen dan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dun, termasuk keluarga mereka
iv. Kesemua pegawai tinggi kerajaan berpangkat Jusa A ke atas, termasuk keluarga mereka
v. Semua setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai-pegawai kanan yang menguruskan Perdana Menteri/TPM/Menteri/Menteri-menteri besar/Exco, termasuk keluarga mereka

Terang Rafizi lagi, pengisytiharan ini boleh dibuat secara berkanun supaya mereka boleh didakwa dan digugurkan dari jawatan sekiranya ada bukti mereka berbohong di dalam pengisytiharan mereka.

“Ini memudahkan siasatan agar SPRM tidak diheret untuk menyiasat kes-kes kekayaan melampau yang kemudiannya tidak boleh disabitkan kesalahan atas alasan tiada bukti menteri terbabit meluluskan projek untuk kroni mereka.

Saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan kembali cadangan untuk mewajibkan menteri-menteri mengisytiharkan harta kepada SPRM semata-mata.

“Jalan terbaik masih lagi mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai secara berkanun.

“Jika ahli politik itu tidak mahu mengisytiharkan harta secara terbuka kepada orang ramai, beliau tidaklah layak menjadi seorang penjawat awam dan lebih sesuai berada di dalam sektor swasta.

“Kes terbaru melibatkan seorang pembantu kanan Menteri Pertahanan ini sewajarnya menjadi teladan perlunya undang-undang pengisytiharan harta yang lebih ketat,” ujarnya.

Menurut Pengasas Invoke ini lagi, beliau juga sudah melihat beberapa dokumen, menunjukkan bahawa 4 pembayaran yang meragukan (masing-masing berjumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800) dibuat dalam tempoh dua hari iaitu 30 Mei 2018 dan 31 Mei 2018.

“Alasan yang sampai kepada saya ialah wang ini hasil dari ‘crowdfunding’ (atau biayaramai) yang diusahakan untuk melepaskan pegawai tersebut dari status muflis.

“Saya sukar menerima alasan ini kerana saya juga tahu seorang lagi pimpinan AMANAH iaitu Mazlan Aliman masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan Saudara Mazlan lebih dikenali dari pembantu YB Mohamad Sabu ini.

“Kes ini, walaupun boleh memalukan Pakatan Harapan, boleh juga diambil pengajaran dalam usaha kita memperkukuhkan lagi Pakatan Harapan.

“Sementara pihak berkuasa wajar meneruskan siasatan dan yang disiasat berhak membela diri di mahkamah, kes ini mendedahkan risiko yang dihadapi oleh anggota Kerajaan Persekutuan yang baru ini.

“Walaupun parti yang memerintah telah bertukar, tetapi pihak-pihak yang sudah biasa untuk menawarkan rasuah, membayar tiket ke luar negara dan lain-lain tetap pihak yang sama kerana mereka merupakan pembekal kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Mereka juga tahu bahawa mana-mana ahli politik dan pembantu mereka, memerlukan wang untuk menguruskan parti dan membina pengaruh.

“Ada juga ahli politik dan pembantu mereka yang kelabu mata dengan tawaran kemewahan, sesuatu yang mereka tidak pernah merasai semasa menjadi pembangkang dahulu,” ujarnya.