Rafizi terima saman Khairy, dedah pegawai SPR orang kuat Umno

Naib presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan menerima surat tuntutan (letter of demand) yang dihantar peguam Khairy Jamaluddin dan bersedia berdepan dengan ketua pemuda Umno itu di mahkamah.

Malah Rafizi mendedahkan identiti pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menghalang calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram daripada mengemukakan kertas pencalonan bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau, 28 April lalu sebagai aktivis pemuda Umno bahagian.

“Saya bersedia untuk berdepan dengan Ketua Pemuda Umno itu di mahkamah, seperti mana saya telah berdepan dengan pimpinan Umno yang lain sebelum ini.

“Namun, itu tidak menghapuskan tanggung jawab moral Khairy untuk menjelaskan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai pembabitan individu yang pernah berjawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang menyebabkan calon Pakatan Harapan itu dihalang,” kata Rafizi dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Rafizi, sejak beberapa hari lalu, warga maya telah menunjukkan bukti-bukti dalam bentuk video dan gambar-gambar dari Facebook yang mengesahkan bahawa pegawai SPR yang bertanggungjawab menghalang Dr Streram adalah mantan ketua penerangan Pemuda Umno Bahagian Rembau bernama Hafidzan Idris.

Rafizi turut menyertakan petikan posting Hafidzan di Facebook yang mengakui dia ialah pegawai SPR yang bertugas.

“Sejak identitinya terdedah kepada warga maya dan dikecam hebat, dia telah memadamkan akaun Facebook.

“Walau bagaimana pun, semakan di pelbagai akaun Facebook orang lain mengesahkan bahawa Hafidzan Idris adalah mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau yang aktif berkempen untuk mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin sendiri,” ujarnya.

Identiti Hafidzan Idris dan tindakannya yang menghalang Dr Streram, jelas Rafizi dirakam warga maya seperti video di www.facebook.com/iqbal.azim.58/videos/965181410323494/

Melalui rakaman video itu, tambah beliau, Hafidzan tidak menafikan bahawa maklumat keperluan mengambil tag hanya dimaklumkan kepada calon pada saat-saat akhir sehari sebelum penamaan calon dan tidak pernah ditaklimatkan sebelum itu.

Dr Streram juga, tambahnya telah cuba mendapatkan pas sehari sebelum hari penamaan calon namun tidak berjaya malah tindakan SPR memaklumkan hal berkaitan tag pada saat-saat akhir turut dikritik calon-calon lain.

Sehubungan itu, Rafizi mencabar Khairy untuk menjelaskan sama ada beliau mengenali Hafidzan secara peribadi dan adakah beliau tahu pegawai SPR yang juga mantan ketua penerangan Pemuda Umno Rembau itu menghalang calon PH daripada mengemukakan kertas pencalonan.

Khairy juga diminta menjelaskan sama ada beliau sedar bahawa pas masuk bukan peraturan pilihan raya dan tertakluk kepada budi bicara Pengurus Plihanraya (RO).

“Sepanjang peristiwa itu berlangsung selama dua setengah jam (dari jam 8 pagi hingga 1030 pagi), apa tindakan Khairy sebagai seorang pimpinan kanan negara yang turut bertanggungjawab memastikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini dipertahankan?” soalnya.

Menurut Rafizi, Khairy yang juga calon BN bagi parlimen Rembau boleh membuli beliau dengan mengenakan saman tetapi tindakan itu tidak boleh memadamkan persoalan yang timbul.

“Tindakan menyaman saya dengan serta merta menunjukkan Khairy sendiri bimbang dengan kemarahan pengundi (terutamanya pengundi India) yang boleh menjejaskan peluangnya di kerusi Rembau,” ujarnya.

8.3
OVERALL SCORE
: 5.0
2 user votes x 10.0