Rahmah, papar sikap AMANAH yang meraikan semua bangsa, kata Hasnul

Rahmah, papar sikap AMANAH yang meraikan semua bangsa, kata Hasnul

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menekankan konsep Rahmah atau Rahmatan lil Alamin sebagai perkara yang perlu dititikberatkan oleh setiap calon yang bertanding dalam barisan kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, sikap rahmah dilihat sebagai satu strategi meluaskan pengaruh Pemuda yang memaparkan AMANAH sebagai sebuah parti yang mementingkan diversiti dan memberi manfaat pada semua tak kira bangsa dan agama.

Katanya, konsep rahmah tersebut tidak mengenepikan bangsa lain yang memerlukan, malah tidak akan sesekali mengecualikan mereka hanya kerena perbezaan parti politik.

“Saya nak menjelmakan pada rakyat Malaysia bahawa kerajaan hari ini meraikan kepelbagaian kaum tanpa ada rasa diri ini diketepikan.

“Kita perlu menampilkan sikap rahmah dengan cara menyantuni mereka biarpun kadangkala kita sendiri tak mampu untuk selesaikan masalah mereka dari segi peruntukan kebajikan dan pembelajaran mereka. Sekurang-kurangnya kita boleh beri pandangan dan idea untuk buka jalan penyelesaian untuk mereka.

“Tapi atas kapasiti ingin melihat mereka sebagai rakyat Malaysia yang ingin berjaya, kita akan bantu. Kita tak perlu persoalkan mereka dari parti mana dan jangan kecewakan permohonan seseorang walaupun kita tak mampu bantu. Jangan sesekali kita tinggalkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran pasukan Pemuda Bekerja di SkyArk, Taman Wahyu KL, semalam.

Tambahnya lagi, setiap calon pemuda AMANAH perlu mempelbagaikan karakter yang membolehkan mereka berinteraksi bersama orang tua, golongan muda, dan kanak-kanak sehingga sikap rahmah dapat dijiwai bersama rakyat marhain.

Sementara itu, beliau berkata tidak wujudnya perpecahan apabila adanya tiga pasukan bertanding dalam AMANAH yang terdiri daripada Pemuda Bekerja, Pemuda Bangkit, dan Pemuda Wibawa.

“Kami dari Pemuda Bekerja, Pemuda Berwibawa dan Pemuda Bangkit mempunyai sikap rahmah. Bezanya kita akan bertembung dalam satu perlawanan besar. Kita ada satu ideologi tapi yang kita nak bawa adalah rahmah, dan yang kita nak pegang itu merupakan Amanah.

“Penamatnya, bulan 10 ini saya mahu lihat ketiga-tiga pemuda ini berpelukan, tekad dalam satu genggaman untuk memastikan jiwa Pemuda AMANAH itu dapat kita ungkaikan, membenihkannya di peringkat bawahan dengan bersandarkan sikap berjiwa besar,” ujarnya.