Rahman Dahlan baru tersedar tuntutan MA63?

Rahman Dahlan baru tersedar tuntutan MA63?

Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengkaji MA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad bersama-sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, bagi mengkaji perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah meluluskan 7 isu penting daripada 21 isu yang diterima jawatankuasa tersebut sejak dibentuk.

Baru-baru ini Datuk Seri Rahman Dahlan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, telah mencadangkan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri yang diwakili wakil rakyat Pembangkang dan Kerajaan dengan tujuan memastikan rundingan MA63 selari manifesto Kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan.

Rahman barangkali lupa atau tidak meneliti manifesto Pakatan Harapan. Jawatankuasa Khas Kabinet bagi mengakaji MA63 itu sendiri adalah termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan.

Justeru, penubuhan Jawatankuasa peringkat DUN dengan tujuan menyemak rundingan dalam Jawatankuasa MA63, agar selari manifesto PH dan Warisan adalah membuang masa dan tidak wajar diteruskan.

Rahman juga barangkali tidak mengkaji struktur dan keanggotaan Jawatankuasa Khas Kabinet ini. Struktur Jawatankuasa ini terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja, yang masing-masing diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Vk Liew.

Keanggotaan jawatankuasa-jawatankuasa ini pula diangotai antaranya Timbalan Ketua Menteri Sabah, Peguam Besar Sabah dan Sarawak dan ramai lagi yang memiliki autoriti dan kepakaran dalam membincangkan MA63.

Manakala Jawatankuasa Kerja diketuai oleh pakar-pakar dalam bidang tertentu yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal. Keanggotaannya pula akan ditentukan oleh jawatankuasa kerja sendiri dan wakil-wakil dari Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Tugas jawatankuasa kerja adalah menjalankan kajian dan penyelidikan isu-isu yang ditentukan oleh jawatankuasa teknikal secara spesifik, konsultasi dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan daripada peringkat akar umbi, menyedia laporan dan syor berdasarkan kajian dan penyelidikan isu-isu spesifik yang dijalankan.

Laporan ini akan mengandungi cadangan pembaharuan, rasional dan penjelasan kepada cadangan pembaharuan.

Dikuatkan lagi, Datuk VK Liew turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Parliment Select Committee) mengenai MA63 yang dianggotai ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Pengerusi PSC ini akan menjadi anggota Jawatankuasa pemandu. Justeru, penubuhan jawatankuasa ini tidak hanya sekadar memenuhi apa yang termaktub dalam manifesto, bahkan membuktikan kerajaan Warisan-UPKO- Pakatan Harapan serius dalam melaksanakan MA63.

Usahlah Rahman Dahlan sangsi dengan niat baik kerajaan kearah memastikan MA63 ini benar-benar terlaksana. Selama beliau menjadi anggota dalam kerajaan, malah anggota kabinet, beliau terus membisu dalam isu ini melibatkan MA63 dan setelah menjadi pembangkang barulah bersuara tentang MA63.

Beliau turut mempersoalkan 7 daripada 21 isu yang diluluskan dalam Jawatankuasa Khas Kebinet yang antaranya menyentuh:

1. Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan
2. Pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas
3. Pelaksanaan Kerja raya Persekutuan dan Negeri
4. Tenaga buruh
5. Kuasa negeri ke atas isu kesihatan
6. Pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan
7. Isu pertanian dan perhutanan

Rahman menuduh perkara-perkara diatas diluluskan hanyalah mencari alasan untuk tidak melaksanakan MA63 bahkan mempersoal kuasa Menteri Kesihatan Sabah.

Sekali lagi, barangkali Rahman buat-buat lupa yang beliau adalah bekas anggota kerajaan yang faham proses penurunan kuasa ini melibatkan penyediaan laporan dan kajian, pindaan undang-undang dan sebagainya.

Sepatutnya beliau menyambut baik perkembangan ini kerana hanya dalam tempoh masa setahun, jawatankuasa ini telah berjaya dibentuk, dan menampakkan hasil. Berbanding sebuah kerajaan purba yang mengambil masa 60 tahun bercakap mengenai MA63 tapi tidak berhasil.

Sebagai rakyat Sabah, pastinya kami mahukan MA63 dilaksanakan dan percaya kerajaan pada hari ini serius dalam memastikan MA63 terlaksana dengan jayanya.