Malaysia Dateline

‘Rahmat hilang kalau susahkan rakyat cari makan’

Rahmatan lil A’lamin perlu diterapkan dalam erti kata sebenar melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, sesama manusia dan alam sekitar.

Ahli Jawatankuasa Majlis Penasihat Pakar Parti Amanah Negara (AMANAH), Ustaz Dr Mohamad Kamil Ab Majid berkata, nilai rahmat melibatkan ketiga-tiga hubungan itu akan hilang apabila penguasa menyukarkan kehidupan rakyat.

“Kalau kita susahkan rakyat dengan kawalan demi kawalan yang menyusahkan mereka untuk cari makan, susah nak bersuara dan bertindak, jadi hilanglah rahmat itu.

“Apabila kita tidak melaksanakan Islam termasuk terhadap alam sekitar dengan gondolkan bukit bukau dan cemarkan sungai, maka kita lihat hari ini alam semakin rosak,” katanya menerusi Tanwir Online AMANAH Kelantan malam tadi.

Dalam bual bicara bertajuk, “Pemerintahan Islam dalam Gagasan Rahmatan lil A’lamin” itu, Ustaz Dr Mohamad Kamil berpendapat pelaksanaan darurat sebenarnya tidak perlu kerana menjejaskan hidup rakyat.

“Tak perlulah kita menyusahkan rakyat dengan mengadakan undang-undang kawalan darurat dan sebagainya

“Rakyat hendak mencari makan dengan mudah, mencari rezeki di muka bumi ini.

“Kalau kita tidak jaga rahmat itu maka rosaklah. Satu rahmat dinikmati Malaysia ini ialah negara demokrasi berparlimen dan beraja,” katanya.

Adik kepada Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi tersebut menjelaskan nilai demokrasi itu penting dipupuk walaupun tidak sempurna 100 peratus.

“Berbanding negara-negara yang diperintah oleh diktator, di Malaysia kita boleh bersuara dan berhimpun serta bebas ke mana ingin pergi serta tidak takut keluar malam.

“Kalau di Arab Saudi dan Mesir nak berkumpul lima orang pun tidak boleh. Tetapi, Alhamdulillah negara kita menikmati keamanan dan kemakmuran,” ujarnya.

Sehubungan itu, pakar bidang usuluddin dan pemikiran Islam berkenaan menegaskan, nilai rahmat itu perlu sentiasa dipelihara di tanah air ini.

“Rahmat itu di negara ini, kita perlu betul-betul jaga. Raja beri rahmat kepada rakyat. Parlimen diberikan rahmah untuk wakil-wakil rakyat menyuarakan kepentingan rakyat.

“Pilihan raya lima tahun sekali itu juga memberi peluang kepada rakyat kebebasan bersuara dan memilih pemimpin,” katanya lagi.