Rahmat Islam jadikan manusia rasa dibela, kata panel forum israk dan mikraj

Rahmat Islam jadikan manusia rasa dibela, kata panel forum israk dan mikraj

Amalan Islam khususnya ibadat solat yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj sepatutnya menjadikan penganutnya semakin bekerja keras membela golongan daif dan tertindas.

“Semakin kuat seseorang itu beribadat (mengadakan hubungan dengan Allah) sepatutnya akan semakin tinggi usahanya untuk membela orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang daif,” kata Ketua Komunikasi Amanah Kedah, Ustaz Ridhwan Abu Bakar di Majlis Forum Israk dan Mikraj di Dataran Amanah, Wakaf Che Yeh malam tadi.

Ibadat solat, kewajipan zakat dan membela golongan daif menurut beliau sentiasa disebut bersekali dalam ayat-ayat al-Quran.

“Malah ada dinyatakan dalam al-Quran, celaka bagi orang yang bersolat tetapi mengabaikan perkara kebajikan lain khusunya membantu anak-anak yatim dan golongan miskin.

“Malah dalam ayat lain lain, al-Quran mendefinisikan dengan jelas pendusta agama sebagai mereka mereka yang tidak peduli kepada kebajikan anak yatim, orang miskin dan mereka yang diabaikan,” katanya.

Dengan menggerakkan misi inilah katanya, perjuangan Rasulullah SAW segera mendapat tempat di kalangan orang ramai.

“Mereka segera merasai dakwah baginda sebagai rahmatan lil alamin (pembawa rahmat untuk semua) selain kebenaran yang dibawa dengan berhujah,” katanya.

Menyentuh situasi semasa, beliau kesal kerana kini Islam dimomokkan dengan satu agama yang tidak mesra golongan miskin dan tertindas.

“Lebih parah Islam kini dilabel agama pengganas yang bawa malapetaka kepada dunia.

“Perkara ini perlu difahami dengan serius oleh masyarakat Islam dan usaha membetulkan perkara ini perlu dilakukan oleh semua peringkat umat Islam,” katanya.

Beliau turut menegur berkenaan pengenalan ulamak dalam masyarakat masa kini.

“Ulamak kini dikaitkan dengan bentuk pakaian dan penampilan sedangkan dalam definisi zaman mana pun ulamak mesti ditentukan dengan ilmu,” ujarnya.

TAGS