Rahmatan lil ‘alamin : Adakah satu retorik ?

Rahmatan lil ‘alamin : Adakah satu retorik ?

Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989: subjek رحم يرحم ).

Nama Allah al-Rahman adalah salah satu daripada nama-namaNya yang terindah (Al-Asmaa al-Husna). Ia merupakan kata sifat yang menunjukkan terlampau, iaitu terlampau kasih kepada hambaNya di dunia sama ada yang beriman kepadaNya ataupun tidak.

Al-Rahim pula yang bermaksud kasih sayangNya yang khusus untuk hambaNya yang beriman yang akan memperolehinya di akhirat nanti.

Basmalah (nama bagi bacaan BismiLlahirrahmanirrahim) yang mengandungi sifat al-Rahman dan al-Rahim diulang-ulang sebanyak 114 kali dalam al-Quran di awal setiap surah, kecuali surah Bara-ah. Walaupun satu surah tidak dimulakan dengan Basmalah, tetapi ia digantikan di tempat lain iaitu dalam surah al-Naml ayat 30.

Sementara itu, surah al-Fatihah diulang baca oleh setiap muslim pada setiap rakaat solatnya bermula dengan Basmalah yang mengisytiharkan Tuhannya sebagai Tuhan yang maha mengasihani dan maha menyayangi. Dalam surah ini perkataan al-Rahman dan al-Rahim diulang dua kali.

Tambahan lagi perkataan rahmah ini pula diulang-ulang dalam pelbagai jenis, bentuk, tempat serta susunannya dalam al-Quran lebih daripada 300 kali. Jika ditambah dengan perkataan-perkataan lain yang semakna atau sinonim dengannya, nescaya ayat-ayat berkaitan nilai rahmah dalam al-Quran akan mencapai 1000 ayat atau hampir 1/6 al-Quran (Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi, 2017: 2)

Tujuan Pengutusan Rasulullah SAW

Allah SWT telah mengisytiharkan secara terang bahawa tujuan Dia mengutuskan Muhammad SAW adalah sebagai rahmah untuk sekalian alam melalui ayat 107 surah al-Anbiyaa (  وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين ). Allah SWT menegaskan bahawa jika tidak kerana ingin memberi rahmah kepada manusia dan alam, nescaya Dia tidak akan mengutuskan nabi akhir zaman Muhammad SAW.

Hal ini wajib dipegang dan dihayati oleh semua manusia khususnya para pembaca al-Quran. Dengan makna lain, seluruh ayat dan ajaran al-Quran itu adalah manifestasi rahmah. Seluruh ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan hadis-hadis yang sahih adalah ajaran rahmah, ramah, mesra, kasihan belas, ihsan, simpati dan prihatin.

Sebagai nabi penutup kepada ajaran langit, Muhammad SAW telah memberi tunjuk ajar secara teori dan praktikal bagaimana Islam agama rahmah ini berperanan sebagai pemacu seorang ketua negara dan rakyatnya, panglima perang dan tenteranya, suami dan isterinya, ibu bapa dan anaknya, tuan dan hamba sahayanya, pemilik kenderaan dan kenderaannya, bahkan manusia dan alam sekelilingnya.

Sifat-sifat Rasul Utusan Allah

Naratif sifat-sifat Rasul dalam wacana ini tidaklah sama seperti naratif sifat-sifat wajib bagi Rasul dalam ilmu Tauhid iaitu Sidq, Amanah, Tabligh dan Fatanah.

Allah SWT berfirman:

لَقَدۡ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِيزٌ عَلَيۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِيصٌ عَلَيۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ رَءُوفٞ رَّحِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada diri (kaum) kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menjaga (kebaikan) bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (al-Tawbah: 128)

Utusan yang dikirimkan Allah SWT kepada hambaNya adalah seorang insan daripada bani insan yang sama, kabilah yang sama bahkan keluarga yang sama. Iaitu daripada darah keturunan yang sama, dimana hubungan darah daging adalah hubungan yang paling sensitif dan paling dalam (Syed Qutb, 1992: 3/1743)

Sifat-sifatnya pula adalah seorang yang sangat prihatin dan risau akan kesusahan yang menimpa kaumnya sama ada di dunia mahu pun di akhirat, sangat mengambil berat demi kebaikan mereka dan sangat lembut hatinya dan belas ihsan terhadap orang-orang yang beriman.

 

Siri akan datang : Rahmah seorang bergelar Nabi

 

Ustaz Ali Muda merupakan Panel Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI)

COMMENTS