Malaysia Dateline

‘Rahmatan Lil Alamin bukan rambutan Pak Amin’

Pendekatan Rahmatan Lil Alamin adalah gagasan tulen untuk mencontohi dakwah Rasulullah S.A.W. bukan gagasan ‘rambutan Pak Amin’, tegas Pegawai Tugas-Tugas Khas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ustaz Ali Muda.

Beliau berkata, antara terjemahan gagasan Rahmatan Lil Alamin itu ialah tidak membalas perbuatan terkutuk orang kafir kepada orang Islam dengan balasan yang sama atau lebih.

Sehubungan itu, ujarnya, AMANAH menyerahkan waliyyul amri atau pihak berkuasa untuk memutuskan tindakan yang sewajarnya terhadap setiap perkara yang melibatkan hubungan kaum dan agama yang membawa risiko perpecahan dan ketidaktenteraman.

“Sesiapa boleh berkata atau melakukan apa sahaja, tetapi undang-undang yang ada di negara ini sudah cukup untuk mengawal keadaan. Tak perlulah AMANAH bersilat untuk menunjukkan parti itu sebagai pembela Islam dan Melayu nombor wahid.

“Itu gaya Umno dan Pas. Sahabat Salafi kena bezakan di antara kerajaan dan pembangkang,” bidasnya.

Terdahulu, pensyarah fekah dan usul fiqh, Dr Rozaimi Ramle dilihat secara menyindir berkata Rahmatan Lil Alamin dibimbangi akan menjadi ‘gagasan rambutan Pak Amin’.

Mengulas lanjut, Ustaz Ali berkata, sikap AMANAH yang berdiam bukan kerana walak atau redha dengan perbuatan orang kafir.

Sebaliknya, jelas beliau, ingin mencontohi kesabaran Rasulullah S.A.W. yang lebih sayangkan dakwah dan reputasinya berbanding diri baginda sendiri.

“Soal anda mahu tuduh kami memberi walak kepada kuffar itu, kami munafiq dan sebagainya kami serahkan saja ke mahkamah Allah S.W.T. Bukan anda yang berhak menghakimi kami walaupun anda berjaya menyebabkan kebencian sejumlah besar umat Melayu Islam kepada kami.

“Kata-kata dan fitnah anda itu anda akan bawa mengadap Allah S.W.T. HasbunaLlahu wa ni’mal wakeel. Jika ada yang berkata saya atau AMANAH lebih rahmah kepada orang kafir berbanding sesama Islam, saya kata cara rahmah boleh berbeza dengan anak sendiri dan anak orang lain,” tegasnya.

Justeru, Ustaz Ali mengingatkan orang Islam wajib belajar rahmah daripada sunnah Rasulullah S.A.W. bukan daripada sesetengah agamawan perkauman atau puak yang menggelarkan diri mereka Sunnah.