Malaysia Dateline

Rahmatan Lil Alamin harmonikan masyarakat majmuk, kata pemimpin MCA

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah seorang raja yang prihatin, bijaksana dan menyayangi rakyat serta negaranya.

Beliau berkatan demikian,  berhubung titah baginda pada Isnin, yang amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat di negara ini.

Lian Ker berkata, apabila Tuanku bertitah sedemikian, ia memberi mesej kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa supaya berbalik kepada prinsip tersebut, iaitu hormat-menghormati, sayang menyayangi, bertolak ansur dan saling bermaafan.

Katanya, itu adalah nilai-nilai asas dalam kehidupan seharian yang seharusnya dijadikan panduan dan diamalkan rakyat di negara ini.

“Melalui prinsip Rahmatan Lil Alamin itu, Tuanku juga mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kita semua hidup dalam negara yang majmuk.

“Walaupun negara kita berteraskan agama Islam, tetapi kaum dan agama lain juga tidak diketepikan.. Saranan dan nasihat Tuanku menunjukkan kebijaksanaan, keprihatinan dan sikap keterbukaan Tuanku sebagai pemimpin negara yang sayangkan rakyat serta negaranya.., “katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas mengenai titah baginda mengenai prinsip Rahmatan Lil Alamin.

Dalam perkembangan sama, Lian Ker berpendapat, prinsip tersebut bukan sahaja diamalkan oleh orang Islam, malah boleh diterapkan oleh pemimpin dan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Beliau berkata, prinsip ini bukan sekadar prinsip dan ianya perlu didalami supaya membawa kepada pemahaman, penghayatan dan seterusnya menjiwai nilai Rahmatan Lil Alamin.

“Saya berdapat… konsep ini adalah universal, dan saya rasa bukan sahaja dalam Islam, tetapi dalam agama lain pun ada, mungkin berbeza dari segi penyampaian dan penggunaan bahasa,” katanya.