Malaysia Dateline

Rahmatan Lil Alamin: Ikram menjunjung kasih, mengalu-alukan titah YDP Agong

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) berpandangan, prinsip Rahmatan Lil Alamin dan maqasid syariah wajar diterima oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk mencapai status negara maju yang menyerlahkan kesyumulan Islam yang sesuai sepanjang zaman.

Semalam, ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah:

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad

“Beta amat menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia,” titah baginda.

Ikram menjunjung kasih dan mengalu-alukan titah baginda ketika merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-14.

Sehubungan itu, Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, dunia Islam menaruh harapan tinggi agar Malaysia, menjadi model negara Islam moden yang berprestasi tinggi dan mementingkan kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Mohd Farid menjelaskan, Rahmatan Lil Alamin mempunyai makna yang luas, merangkumi segenap aspek termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, tidak prejudis, ramah-tamah dan harmoni.

“Dalam konteks Malaysia, sikap rahmah perlu diterapkan kepada semua elemen kehidupan termasuk rahmah terhadap bangsa Melayu dan bumiputera yang masih belum mendapat haknya, dan juga bangsa-bangsa lain yang menghormati undang-undang negara.

“Pendekatan rahmah juga harus diterjemahkan antaranya untuk pembelaan golongan wanita, kanak-kanak, orang tua, orang miskin, haiwan dan juga alam sekitar,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Berdasarkan pendekatan Rahmatan Lil Alamin, IKRAM menggagaskan 12 Ciri Negara Rahmah yang menjadi visi IKRAM bagi mewujudkan sebuah negara bertamadun yang maju, progresif, pembangunan yang seimbang diiringi dengan keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT.

Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Kepemimpinan Negara yang Kompeten dan Berintegriti
2. Sistem Pemerintahan yang Berasaskan Semak dan Imbang yang Berkesan
3. Tadbir Urus yang Baik
4. Undang-undang yang Adil
5. Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak dan Penyayang
6. Institusi Keluarga yang Utuh
7. Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni
8. Ekonomi yang Mampan
9. Agihan Kekayaan yang Saksama
10.Pembangunan yang Lestari
11.Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara
12.Menerajui Usaha Keamanan dan Kesejahteraan Sejagat