‘Rahmatan Lil Alamin nyawa parti dan negara’

‘Rahmatan Lil Alamin nyawa parti dan negara’

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin perlu sentiasa disemarakkan memandangkan konsep yang telah diterima sebagai dasar kerajaan itu adalah nyawa kepada parti dan negara.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, usaha tersebut mesti mampu AMANAH terjemahkan dalam diri dan parti.

“Kita tidak boleh lengah untuk memastikan konsep Rahmatan Lil Alamin benar-benar hidup dan segar-bugar.

“Ingat, Rahmatan Lil Alamin adalah nyawa kepada parti dan negara.

Tekun mendengar ucapan pimpinan dalam sesi penggulungan.

“Insya-Allah masyarakat dapat menilai bagaimana AMANAH dapat menyumbang kepada negara serta dihormati pihak kawan dan lawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut beberapa kali memohon maaf bagi pihak Datuk Wira Anuar Tahir yang merupakan Setiausaha Agung AMANAH pada sesi lalu ekoran isu pembatalan sejumlah pendaftaran Cawangan dan Kawasan parti sebelum ini.

Salahuddin berharap perwakilan dan ahli AMANAH tidak menganggap pimpinan di kementerian-kementerian sedang berfoya-foya dengan kuasa diperoleh.

“Jangan ada anggapan kami di sini berfoya foya dengan apa yang ada.

Reaksi perwakilan pada sesi ucapan penggulungan petang ini.

“Lihat seorang demi seorang, rebah dalam Parlimen dan pejabat kerana kita bekerja siang malam demi keperluan rakyat dan negara.

“Bagi pihak Anuar Tahir, saya meminta maaf kerana menyusahkan Kawasan. Ada mesyuarat terpaksa buat dua kali.

“Kami minta maaf dan kami akan perbaiki kerana dalam tempoh enam bulan (lahirnya kerajaan PH), keahlian dan Cawangan bertambah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Salahuddin mengakui dirinya tidak malu mengaku tentang kesibukan tersebut.

“Insya-Allah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan kita bantu. Caranya bagaimana? Jumpa dengan Presiden,” ujarnya lagi.