Rahmatan lil alamin perlu difahami secara menyeluruh, kata Tuan Ibrahim

Rahmatan lil alamin perlu difahami secara menyeluruh, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan Rahmatan lil alamin sebagai konsep penting yang perlu di bangun dalam kerangka yang sebenar bukan hanya memahami rahmatan tetapi perlu mengambil konsep asal secara penuh.

Tuan Ibrahim berkata konsep asal rahmat ini berkaitan pengutusan Rasulullah s.a.w dan ajaran yang dibawa Rasulullah sebagai rahmat.

“Jika kita menolak pengutusan Nabi Muhammad dan mengambil rahmat sahaja, maka ia tidak jadi (lengkap). Jadi ia mesti di ambil secara menyeluruh dalam kerangka yang sebenar.

“Dalam Islam, kita tidak boleh membuat penyatuan atau menyamaratakan semua agama itu sama seperti agama islam.

“Walaubagaimanapun konsep ini dapat dimanfaatkan sekiranya kita sedar pentingnya untuk mewujudkan persefahaman antara kaum,”kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai titah ucapan Yang Dipertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung prinsip Rahmatan Lil Alamin yang diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tuan Ibrahim juga menjelaskan bahawa agama rasmi Negara Malaysia adalah agama Islam dan pentingnya masyarakat majmuk menghormati agama kaum lain.

Akhir mutakhir ini terdapat beberapa isu melibatkan orang awam menghina Nabi Muhammad dan agama islam yang dilihat sebagai satu perkara yang serius.

“Kerana itu penting untuk semua memahami konsep rahmatan lil alamin dimana semua masyarakat perlu menghormati agama-agama yang dianuti.

“Terapkan persefahaman, wujudkan sikap saling menghormati, disamping tidak melanggar prinsip beragama dan menceroboh islam serta agama-agama lain,” ujarnya lagi.