Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai risalah keadilan, kasih sayang dan kedamaian

Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai risalah keadilan, kasih sayang dan kedamaian

Nampaknya akhir-akhir ini para agamawan tidak sepakat dan sekata tentang maksud Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA).

Golongan agamawan progresif dan inklusif mentafsirkan RLA sebagai satu dasar Islam yang terbuka, toleran, memaafkan, memilih kedamaian.

Manakala golongan agamawan konservatif (dan juga ‘Malay supremacist’) pula mengehadkan maksud RLA itu kepada umat Islam atau orang yang telah menerima risalah Islam sahaja. Ada di antara mereka yang mengatakan “silap2 RLA itu menjadi ‘Rahmatan Lil Kafirin..”. Pendekatan mereka memilih kekerasan, ancaman dan celaan.

Jadi yang sebenarnya RLA itu apa?

RLA diceduk daripada maksud ayat 108 Surah al-Anbiyaa:

“Dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskan engkau (Nabi Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam (al-‘Alamin)”.

Perkataan al-‘Alamin itu adalah disengajakan oleh Allah SWT dan bukan satu kesilapan (Maha suci Allah SWT daripada sebarang kesilapan). Ia bermaksud seluruh alam dan segala makhluk kejadian. Daripada manusia (Islam dan bukan Islam), jin, haiwan, tumbuhan dan segalanya. Pengutusan Nabi Muhammad SAW adalah untuk kebaikan seluruh makhluk. Kalau rahmatnya untuk umat Islam sahaja, sudah tentu Allah SWT akan berkata “..lil muslimin..”

Mana mungkin Allah SWT menyempitkan rahmatNya hanya untuk hambaNya yang Islam sahaja, sedangkan dia mengaku diriNya adalah Tuhan bagi sekalian alam dalam Surah al-Fatihah ayat 2.

Dalam surah yang sama, iaitu al-Fatihah, Allah menyifatkan diriNya sebagai al-Rahman (yang sangat pemurah memberi rezeki untuk semua makhluk di dunia) dan al-Rahim (yang sangat penyayang kepada hambaNya yg beriman di akhirat nanti) sebanyak 2 kali, iaitu dalam ayat pertama dan ketiga Surah al-Fatihah. Kedua-dua sifatNya yang mulia itu berasal daripada perkataan ‘rahima yarhamu’ iaitu merahmati, menyayangi, mengasihi, mengambil berat, suka memberi, menjaga, memelihara dan segala makna kasih sayang.

Surah al-Fatihah pula menjadi rukun qawli dalam setiap rakaat solat kita umat Islam. Tidak sah solat (fardhu dan sunat) tanpa membaca al-Fatihah. Setiap solat itu pula (fardhu dan sunat) wajib diakhiri dengan lafaz salam ‘Assalamualaikum warahmatuLlah’ sambil berpaling ke kanan (wajib) dan ke kiri (sunat). Tanpa salam yang pertama, tidak sah solat itu.

Ini sekali gus menghantar mesej kepada kita yang mentadabbur bahawa risalah kita umat Islam adalah risalah kasih sayang dan damai. Solat dimulakan dengan nama Allah yang maha pemurah dan penyayang dan diakhiri dengan lafaz salam / kedamaian.

Adalah suatu yang janggal apabila ajaran yang murni diamalkan oleh umat Islam tidak melahirkan tingkah laku dan kata-kata yang murni sesama umat manusia.

Adakah kerana tamakkan kekuasaan dan terasa terancam dengan umat yang lain maka sebilangan umat Islam cuba menukar ajaran RLA yang dibawa oleh Islam sejak risalah yang pertama kepada Rahmatan Lil Muslimin (umat Islam) atau Rahmatan Lil Malayuwiyyin (kaum Melayu) sahaja?

Islam tidak pernah memberi kemuliaan dan keistimewaan kepada mana-mana bangsa berdasarkan bangsa. Tiada satu ayat pun dalam al-Quran dan tiada satu riwayat pun dalam hadis yang menyatakan mana-mana kaum teristimewa berbanding kaum yang lain. Keistimewaan hanya diperakui untuk orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kalau seseorang itu hanya beriman atau bernama Islam, tetapi dia tidak melakukan amal soleh terhadap Allah dan sesama manusia, maka dia tidak berhak mendapat kemuliaan. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling bertakwa..”

Sabda Rasulullah SAW:

“Ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang Arab ke atas orang bukan Arab, dan tiada kelebihan orang bukan Arab ke atas orang Arab melainkan dengan takwa” (Riwayat Muslim)

Memang tidak dinafikan bahawa dalam sejarah Islam di zaman Rasulullah SAW ada berlaku peperangan dan membunuh manusia. Namun semua perang itu bermula dengan kekejaman pihak lawan yang telah memulakan perang dan permusuhan terlebih dahulu.

Hal ini bertepatan dengan perintah Allah swt dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9:

“Allah tidak melarang kamu untuk melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak menghalau kamu dari negeri-negeri kamu, (kerana) sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang adil. (Sebaliknya) Allah hanyalah melarang kamu berkasih sayang dengan orang-orang yang telah memerangi kamu kerana agama dan telah menghalau kamu dari negeri-negeri kamu serta telah berpakat untuk menghalau kamu, sesiapa yang memberi kasih sayang kepada mereka itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”

Difahami daripada ayat 107 Surah al-Anbiyaa di atas tadi dan ayat 8 dan 9 Surah al-Mumtahanah ini bahawa umat Islam wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada semua orang kecuali terhadap orang-orang yang TELAH memerangi mereka dan menghalau mereka dari tanah tumpah darah mereka. Dengan kata lain, selagi orang bukan Islam tidak berbuat zalim kepada orang Islam, maka orang Islam tidak harus menindas orang bukan Islam dalam apa sahaja bentuk. Kerana ajaran umum Islam ialah RLA.

Mesej ini wajib difahami, dihayati dan diamalkan oleh seluruh umat Islam kerana agama Islam ini adalah agama dakwah. Dakwah hanya berlaku dengan rahmah dan kasih sayang, bukan kekerasan dan celaan.

Walaupun pada zaman sekarang ada orang bukan Islam yang menghina Islam dan Rasulullah SAW, namun ia tidak harus menjadi alasan untuk orang Islam bertindak di luar batasan undang-undang. Tiada sebarang kebaikan dengan perlakuan ganas yang membunuh orang-orang bukan Islam yang tidak melakukan kekejaman ke atas umat Islam seperti perbuatan mengebom tempat awam. Prinsip Islam ialah dosa seseorang tidak ditanggung oleh orang lain, maka kekajaman yang dilakukan oleh seseorang bukan Islam ke atas Islam tidak mengharuskan umat Islam membuat tindakan balas ke atas orang bukan Islam yang tiada kena mengena dengan perbuatan kejam tadi. Jemaah sesat Islamic State dan Jemaah Islamiah tidak harus menjadi pembela Islam dan umat Islam, sebaliknya perbuatan mereka telah menconteng arang ke atas wajah suci Islam.

Bahkan sifat sabar Rasulullah SAW dan para Sahabah ketika pembukaan Kota Makkah tahun ke 8 Hijrah yang tidak membalas dendam ke atas kekejaman kaum Quraisy, memberi maaf dan menghulur salam perdamaian telah menyebabkan orang-orang Quraisy memahami mesej damai Islam dan mereka pun masuk Islam secara keseluruhan dan berbondong-bondong. Firman Allah SWT: [Surat An-Nasr 1 – 2]

Hal yang semakna telah berlaku di Christchurch New Zealand apabila umat Islam tidak membalas kekejaman dan pencabulan yang dilakukan oleh puak rasis berkulit putih dari Australia terhadap umat Islam di dalam dua buah masjid. Kesannya, mesej Islam sebagai agama rahmah dan kasih sayang telah mengetuk jiwa-jiwa yang selama ini tidak berminat untuk ambil tahu ajaran Islam sehingga mereka tersedar amat rugi jika mereka tidak menganut Islam. Akhirnya mereka beramai-ramai mengucap dua kalimah syahadah memeluk agama fitrah. Bayangkan jika ada umat Islam yang bertindak balas secara semberono atas alasan tidak perlu rahmah lagi terhadap orang kafir pada zaman sekarang, sudah tentu reputasi Islam tercemar teruk dan kejahatan si rasis berkulit putih itu akan terus terpadam daripada pandangan dunia.

Kesimpulannya, RLA adalah pati ajaran Islam yang menjadi satu-satunya sebab pengutusan Nabi Muhammad SAW yang wajib difahami dan diamalkan oleh umat Islam. Dengan cara itu baharulah dunia akan melihat Islam benar-benar agama keadilan, kasih sayang dan tidak membalas dendam. Lantaran, kemasukan ke dalam agama Islam secara berbondong-bondong akan berulang lagi.

Ketahuilah wahai umat Islam, jika boleh Nabi kita Muhamad SAW tidak mahu melihat seorang pun umat manusia yang mati dalam kekafiran. Sebab itu kaum Taif yang menghina, mencaci bahkan memukul baginda secara zalim itu didoakan oleh baginda supaya diampunkan dan akan lahir zuriat meraka yang beriman kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu pun. Sedangkan boleh saja jika baginda membenarkan malaikat penjaga bukit menterbalikkan bukit ke atas kaum Taif.