Rahmatan Lil Alamin: ‘Tidak ceria hanya satu warna’

Rahmatan Lil Alamin: ‘Tidak ceria hanya satu warna’

Hidup pastinya tidak ceria jika hanya ada satu warna sahaja.

Demikian perlambangan yang disebut Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz ketika menjelaskan tentang makna kepelbagaian dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu menyifatkan variasi pemikiran sebenarnya menceriakan kehidupan.

“Kalau satu warna contohnya semua orang pilih putih, setakat sekali atau sebulan bolehlah terima. Selepas itu, tidak cerialah.

“Kalau semua pilih warna hitam pula, tak laku kain yang dijual. Dengan warna-warni orang boleh membina kekayaan. Sama juga dengan satu bentuk pemikiran saja. Itu tidak ceria.

“Biar berbalah dalam batas berlumba-lumba membuat kebaikan. Label seperti satu pihak sebagai kafir, satu pihak pula penunggang agama, itu tidak ceria,” ujarnya dalam Forum Perdana: Islam dan Masyarakat di Dataran Datuk Sheikh Ahmad dekat Kangar, Perlis baru-baru ini.

Ustaz Nik Omar Nik Aziz

Justeru, Ustaz Nik Omar berkata, Allah menurunkan al-Quran untuk mengangkat kelebihan orang yang berilmu yang penting bagi tujuan membina ketamadunan dan memajukan negara berkebajikan.

“Jadi, kita kena didik anak-anak dengan penekanan ilmu. Begitu juga, kekuatan dalaman seperti solat tahajud selain tentunya kekuatan fizikal. Perubahan bukan sahaja dari sudut jasmani tapi bermula dari dalam (jiwa).

“Mesti tunjukkan tauladan terbaik. Akal pun ada makanannya iaitu ilmu. Baru akal ceria. Jiwa dan roh kita ada makananan juga iaitu kasih sayang. Kita semua mahu rahmah dan syurga Allah,” katanya.

Menurut anak Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berkenaan, penting untuk setiap daripada kita melihat seseorang itu atas asas kasih sayang.

“Kita mesti kasih sesama Muslim. Walaupun bukan Islam, kita kasih kerana dia hamba Allah. Hatta kita kasih dengan binatang pun kerana Allah Taala,” tambah Ustaz Nik Omar lagi.

Jiwa dan roh manusia ada makanannya iaitu kasih sayang.