Rahmatan Lil’alamin beri kekuatan pada AMANAH terus bergerak ke hadapan

Rahmatan Lil’alamin beri kekuatan pada AMANAH terus bergerak ke hadapan

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata, beliau bersyukur kerana AMANAH, sebuah parti baharu yang berusia tiga tahun, mampu berdiri di atas kaki sendiri walaupun sebelum ini banyak tohmahan dan fitnah serta tuduhan yang dilemparkan kepada AMANAH.

Kata beliau, AMANAH dapat bergerak secara satu kumpulan, satu pasukan, malah dalam tempoh satu tahun AMANAH telah mampu menubuhkan sebanyak 168 kawasan.

“Saya kira ini suatu kejayaan yang besar kepada AMANAH, yang pada awalnya dituduh sebagai parti serpihan daripada Pas.

“Atas dasar Rahmatan Lil’alamin, AMANAH berjaya bergerak secara kolektif dan inklusif, menubuhkan kawasan dan cawangan,” kata Speaker Dun Negeri Sembilan itu dalam ucapannya di Konvensyen AMANAH Negeri Sembilan Kali Ke-3 bertempat di Floral Cristal Event Space, Senawang semalam.

Jelas beliau, AMANAH Negeri Sembilan antara yang terawal menubuhkan kawasan-kawasan walaupun pada awalnya agak ‘takut’ memandangkan AMANAH adalah sebuah parti serpihan.

Pada waktu itu katanya, timbul persoalan, mampukah AMANAH bersaing dengan parti-parti lain yang telah lama wujud dalam pesada politik tanah air.

Namun tambahnya, apabila kita bertekad dan bersungguh-sungguh ingin membawa gagasan Rahmatan Lil’alamin ini, Allah memberi kekuatan kepada kita.

“Walaupun kita parti serpihan, tetapi atas kegigihan serta pengorbanan sahabat-sahabat, kita berjaya bergerak ke hadapan memperkenalkan AMANAH kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Konvensyen tersebut yang bermula jam 8 pagi turut dihadiri oleh wakil-wakil parti komponen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, selain perwakilan dan pemerhati.

Konvensyen berkenaan dirasmikan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.