Umum mengetahui, bukan semua kanak-kanak di Malaysia meminati pencuci mulut tradisional tempatan seperti kuih Apam dan sebagainya.
Hal ini berikutan anak-anak zaman sekarang lebih tertarik untuk menikmati produk tidak sihat seperti makanan segera yang sangat mudah didapati di pasaran tempatan.
Perkara ini secara tidak langsung membuatkan ibu bapa pening kepala memikirkan strategi agar anak-anak memilih makanan berkhasiat untuk pertumbuhan mereka.
Menyedari hal ini, seorang pengguna Facebook tampil berkongsi rahsianya memikat selera kanak-kanak yang masih kecil dengan resepinya, iaitu Apam Coklat Kukus.
Bukan sahaja mudah untuk disediakan, resepi yang memerlukan proses mengukus ini juga sangat sesuai untuk ibu bapa yang tidak mempunyai mesin pembakar di rumah.
Seakan-akan kek coklat, berikut kami kongsikan resepi Apam Coklat Kukus berdasarkan satu hantaran tular daripada pemilik akaun Facebook bernama Noor Baini Bakar.
Bahan A:
- Tiga biji telur
- Satu cawan susu cair
- Satu setengah cawan gula
- Secubit garam
Bahan B:
- Dua cawan tepung gandum
- Setengah cawan serbuk koko
- Satu sudu teh soda bikarbonat
- Satu sudu teh baking powder
Bahan C:
- Satu cawan minyak masak
- Satu cawan air panas
- Satu sudu teh esen vanilla
Langkah-langkah membuat Apam Coklat Kukus:
1. Masukkan semua bahan A di dalam mesin pengisar. Kemudian, kisarkan semua bahan-bahan tersebut sehingga sebati.
2. Setelah sebati, masukkan bahan A yang telah dikisar itu ke dalam satu bekas. Kemudian, ayakkan semua bahan B.
3. Tuangkan bahan B ke dalam bekas bahan A. Kemudian, kacaukan sebati sehingga tiada lagi ketulan tepung di dalamnya.
4. Setelah itu, masukkan pula semua bahan C dalam bekas yang sama dan kacau sekali lagi.
5. Masukkan adunan ke dalam acuan. Pastikan tidak melebihi 3/4 daripada isi padu bekas. Kemudian, kukuskan selama 15 minit.
6. Pastikan penutup periuk kukus dibungkus menggunakan kain untuk mengelakkan air jatuh ke atas apam.
7. Apam Coklat Kukus anda sudah sedia untuk dihidangkan. Lebih menyelerakan jika anda parutkan keju atau letak krim keju ke atasnya.
Baca juga: Isu murid tanpa dokumen kewarganegaraan, KPM cari jalan penyelesaian