Raih 1.6 juta tontonan, gelagat Aaisyah anak Che Ta mengaku ‘materialistik’ curi perhatian netizen

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta kembali menjadi sorotan ramai selepas berkongsi video ‘temu bual’ bersama anaknya iaitu Aaisyah Dhia Rana di akaun TikTok miliknya, baru-baru ini,

Video berkenaan dipercayai dirakamkan ketika sambutan majlis hari jadi anak perempuan tunggalnya yang jatuh pada 1 November lalu itu di sebuah dewan di Shah Alam, Selangor.

Dalam rakaman berdurasi satu minit tiga saat itu, Cha Ta mulanya bertanya kepada Aaisyah mengapakah kanak-kanak itu membuat permintaan khusus agar sambutan hari jadinya diadakan secara ‘kejutan’ setiap tahun.

Menurut Aaisyah, hal ini kerana sambutan tersebut hanya dapat diraikannya sekali sahaja setiap tahun malah dirinya juga sememangnya amat menyukai kejutan seperti orang lain.

Namun apa yang mencuri perhatian orang ramai adalah jawapan kanak-kanak berkenaan ketika ditanya adakah dirinya merupakan seseorang bersifat ‘materialistik’ atau mengutamakan kebendaan.

Tanpa menunggu lama, anak bongsu Che Ta yang kini berusia 10 tahun itu mengangguk kepala sebagai tanda setuju kepada soalan diutarakan ibunya seperti dilihat dalam rakaman tersebut.

@rozitachewan1

Ayoooooooo nervous kami dgr jawapan dia🤣 . Taun depan tetap kami buat Birthday Party Aaisyah kt @Lantera Venue lagiiiiii laaaaa ! Senang tk payah pikiaq ! Tempat selesa, makan sedap , deco letup , settled !!!! Yg pastii tema dia taun depan ttp pink 😬 . #lanteravenue #aaisyah #fyp #birthdayparty

♬ original sound – ROZITA CHE WAN – ROZITA CHE WAN

Ayoooooooo, ‘nervous’ (gementar) kami dengar jawapan dia,” tulis Che Ta di dalam ruangan kapsyen perkongsian yang berjaya meraih 1.6 juta tontonan daripada pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terhibur melihat gelagat Aaisyah malah ada yang bertanya sekiranya kanak-kanak berkenaan mengerti maksud materialistik.

Ramai juga pengguna merasa kagum apabila Aaisyah kelihatan seperti sangat menghargai dirinya sendiri walaupun usianya masih muda iaitu baru berumur 10 tahun.

“Hahaha. Dan-dan mengaku. Entah dia faham atau tidak maksud materialistik itu,” kata seorang pengguna yang terhibur melihat gelagat kanak-kanak berkenaan.

“Kecil-kecil sudah tahu nilai diri sendiri. Saya sangat cemburu dengan Aaisyah. Anak pintar, semoga berjaya dunia akhirat ya. Semoga tetap ‘kaya’ dari semua aspek.” Kongsi pengguna lain.

Sekadar info, Aaisyah yang lahir pada 1 November 2014 di Hospital Pakar Ampang Puteri itu merupakan anak hasil perkahwinan Che Ta bersama pelakon, Zain Saidin pada 2013 lalu.

Pelakon yang kini berusia 51 tahun itu juga mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra hasil dari perkahwinan terdahulu bersama suami pertamanya.

Baca juga: Tukar nama hibah kepada ibu, rupanya Fattah Amin buat sebab…