Raih kutipan ‘box office’ cecah RM6 juta, filem Babah bakal tembusi negara luar

Oleh KIM SYAZIE

Filem Babah yang mengangkat nilai kekeluargaan berjaya mendapat tempat di hati penonton sehingga ia meraih kutipan hampir RM6 juta sejak ditayangkan di pawagam pada 5 Disember lalu.

Kutipan box office itu tidak pernah dijangka oleh penerbit yang juga penyumbang idea asal filem Babah, Nadia Mohd Nadzri.

Lebih menarik, Babah bukanlah naskhah yang berat, sebaliknya satu karya yang sangat santai dengan mengisahkan pengorbanan bapa dan anak perempuan yang cukup meruntun hati ramai.

Nadia berkata, dia tidak menyangka apabila tayangan sebelah pagi penuh semuanya dan bercadang untuk memasukkannya ke pawagam di Sabah dan Sarawak.

“Kami macam terkejut bila tayangan sebelah pagi semua penuh. Kali ini juga akan masuk ke pawagam di Sarawak dan Sabah sebab sebelum ini, agak sunyi di sana,” katanya ditemui pada sesi tayangan eksklusif filem Babah di TGV One Utama baru-baru ini.

Babah sudah masuk ke Singapura pada 26 Disember lalu dan pihak produksi sedang merancang membawanya ke Indonesia.

Babah mengisahkan pengorbanan ayah bernama Isyak untuk anak perempuannya, Maya.

Isyak adalah lelaki pertama yang hadir dalam hidup Maya, malah dia dianggap hero yang sentiasa melindungi dan menjaga Maya. Apabila dewasa, Maya diuji musibah teruk, Isyak menjadi tempat bergantung harap.

Baca juga: “Mentua backup suami selepas kantoi tidur banyak kali dengan pengasuh anak, siap salahkan aku”