Raikan keharmonian dan kepelbagaian, kata TPM

Raikan keharmonian dan kepelbagaian, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia supaya terus meraikan keharmonian dan kepelbagaian yang dinikmati selama ini sempena menyambut Hari Malaysia.

Kata beliau, lima dekad berlalu sejak tertubuhnya negara Malaysia hasil gabungan Persekutuan Malaya dengan Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah).

“Peristiwa penyatuan tiga wilayah yang bersejarah ditambah manis dengan ciri-ciri unik dimiliki oleh setiap wilayah.

“Perjuangan kita untuk mengecapi kemerdekaan dan menegak demokrasi dinikmati tanpa pertumpahan darah dan ini merupakan kejayaan yang dapat dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

“Pada hari ini, marilah kita mengenangi perit jerih yang dilalui oleh nenek moyang kita dan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menjadikan Malaysia sebuah realiti,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia beliau.

Ujar beliau, keindahan Malaysia sesungguhnya terletak pada rakyatnya.

“Marilah kita terus meraikan keharmonian dalam kepelbagaian ini.

“Marilah kita terus menikmati perbualan di sekeliling kita yang dituturkan dalam bahasa yang pelbagai,” kata beliau.

Jelasnya, toleransi, hormat-menghormati, saling memahami dan saling menerima adalah harta kepada masyarakat Malaysia yang harus kita senantiasa hargai dan dukungi.

Perjalanan yang sudah kita lalui amat panjang namun masih banyak lagi kegemilangan yang Malaysia boleh gapai, tambahnya.

“Bersama kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kemegahan dan kebanggaan.

“Selamat Hari Malaysia,” kata beliau.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES