Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Azhar Azizan Harun boleh dianggap mencabuli tanggungjawab mereka di bawah perlembagaan jika enggan mengadakan sidang Parlimen seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa.
Bahkan kata Peguam, Haniff Khatri Abdulla, kedua-dua Speaker Dewan Rakyat dan Negara itu juga dianggap telah menderhakai titah Baginda Agong sekiranya ia tidak diadakan sebelum 1 Ogos ini.
Menurutnya, titah Agong mewajibkan persidangan Parlimen mengambil kira pembentangan dan debat proklamasi darurat bersama pindaan peraturan dewan.
“Saya ingin mengesyorkan kepada Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Azhar Harun, sila faham titah Baginda Tuanku Agong tentang keperluan pembentangan darurat dan ordinan-ordinan yang diluluskan di bawahnya sejak 11 Jun, sebelum 1 Ogos.
“Persidangan khas itu nanti, kedua-dua Speaker boleh masukkan agenda pembentangan tersebut selama lima hari persidangan untuk bentang dan bahas.
“Baginda Tuanku berhak ambil kira pandangan Ahli Parlimen sama ada nak tamatkan (awal) atau teruskan darurat,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.
Haniff yang juga pakar perundangan itu mengingatkan kerajaan agar tidak menggagalkan hasrat murni Agong melalui taktik-taktik taktikal yang sangat mudah dikesan.
“Saya tak rasa ada taktik ini. Tapi saya bagi satu saranan, jangan fikir nak buat apa-apa taktik (untuk berdalih) kerana Baginda Tuanku dah nampak taktik itu,” ujarnya.