Penasihat Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat memberi gambaran wujudnya kesepakatan antara Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Yasin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rais berpendapat bukan satu hal yang salah pun jika benar adanya perbincangan antara Mahiaddin dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
“Berita Tun M bincang-bincang dengan PM Tan Sri Muhyiddin kalau betul pun, apa salah?
“Mereka kan pembikin Bersatu?” katanya menerusi ciapan di Twitter petang tadi.
Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu juga berkata, perkembangan akan menjadi lebih baik jika Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut terlibat.
“Kalau tambah dengan Presiden Muda lagi baik. Bersatu kita. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga. Saya paling suka,” kata Rais lagi menerusi ciapan di Twitternya.
Untuk rekod, Pengasas bersama Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga merupakan Ahli Parlimen Muar.
Bersatu pada masa ini mempunyai 32 kerusi Parlimen manakala Pejuang dan Muda yang masing-masing di blok pembangkang diwakili lima kerusi Dewan Rakyat.