Malaysia Dateline

Rais Yatim lebih berani dan faham berbanding Azhar, kata Kit Siang

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin perlu menyatakan komitmennya bahawa Parlimen akan dipanggil bersidang sebelum 1 Ogos nanti.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, janji Mahiaddin untuk melibatkan pembangkang dalam mengkaji semula pembukaan Parlimen adalah tidak mencukupi.

Bahkan menurutnya, janji Ahli Parlimen Pagoh itu tidak memberi makna sekiranya Parlimen hanya akan dipanggil bersidang pada September atau Oktober seperti yang disebutkan dalam fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Fasa berkenaan menetapkan Parlimen bersidang apabila kes Covid-19 kurang daripada 2,000 kes, selain jumlah kapasiti katil unit rawatan rapi mula mencukupi, dan sehingga 40 peratus populasi dalam negara telah diberikan vaksin sepenuhnya.

“Bagaimana sekiranya salah satu daripada keadaan ini tidak dicapai? Adakah Parlimen akan digantung selamanya?

“Malah, Yang Dipertua Dewan Negara telah melangkah lebih jauh ke hadapan. Beliau telah mengatakan yang Ordinan Darurat 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

“Amat malang sekali apabila Yang Dipertua Dewan Negara kelihatan lebih berani dan faham mengenai hak-hak dan keistimewaan Parlimen berbanding dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam Mahiaddin berkata, sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang akan dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Ini berikutan aduan pembangkang bahawa mereka dikecualikan daripada jawatankuasa tersebut dan kebimbangan bahawa Parlimen hibrid melumpuhkan peranan Ahli Parlimen dan sekadar menjadi ‘rubber stamp’.

Bagaimanapun kata Mahiaddin, sama ada persidangan Parlimen akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ia akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang

Dalam pada itu, Kit Siang menyeru agar Datuk Azhar Azizan Harun untuk mewakili kepentingan Ahli-ahli Parlimen terhadap pihak Eksekutif, dan bukannya menjadi wakil pihak Eksekutif di Parlimen.

Beliau juga bertanya mengapa Perdana Menteri kelihatan seperti segan untuk memberikan komitmen memanggil sidang Parlimen sebelum 1 Ogos.