Malaysia Dateline

Rais Yatim tak sesuai jadi Presiden Dewan Negara

Berisan Ahli Dewan Negara hari ini membantah cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengetengahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Dr Rais Yatim untuk dilantik sebagai Presiden Dewan Negara.

Menerusi satu kenyataan bersama antara senator-senator di blok pembangkang, mereka mendakwa Veteran Umno itu tidak sesuai memegang jawatan tersebut.

“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah.

“Justeru itu ia memerlukan seorang Presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.

“Kami berpendapat bahawa Tan Sri Rais Yatim bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut,” katanya.

Perkara itu dinyatakan bersama antara Aiman Athirah Al Jundi (AMANAH ); Liew Chin Tong (DAP); Yusmadi Yusoff (PKR); Datuk Wira Marzuki Yahya (Pejuang); Datuk Theodore Douglas Lind (Warisan) dan Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO).

Sebelum ini, Rais pernah disebut-sebut bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan penyandangnya S Vigneswaran yang tamat tempoh pada 22 Jun lalu.

Bagaimanapun, barisan senator menyeru agar kerajaan berunding dengan semua parti politik yang diwakili dalam Dewan Negara agar dapat melantik seorang Presiden yang boleh diterima semua pihak.

Untuk rekod, Rais pernah memutuskan untuk keluar dari Umno buat kali kedua selepas PRU14 pada 2018 dan menyertai Bersatu.