Rais Yatim turun berkempen untuk PH di Jelebu

Rais Yatim turun berkempen untuk PH di Jelebu

Bekas menteri dan veteran Umno yang baharu dipecat, Tan Sri Rais Yatim malam tadi untuk pertama kali turun berceramah di pentas kempen Pakatan Harapan di Kuala Klawang, Jelebu.

Beliau menyeru semua pengundi bukan sahaja di Parlimen Jelebu bahkan di seluruh negara supaya berani membuat perubahan menukar kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei nanti.

Katanya, terlalu banyak alasan untuk rakyat Malaysia untuk menukar kerajaan pada PRU kali ini dan beliau berkempen malam itu katanya, bukanlah kerana marah kerana dipecat daripada Umno.

Jelas beliau, PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dapat memberikan keyakinan dan sinar baharu kepada rakyat Malaysia untuk mengubah dan memperbaiki keadaan sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya ini.

Rais turut menjelaskan kebejatan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan membandingkannya dengan pimpinan-pimpinan sebelum ini.

Turut berucap pada majlis berkenaan ialah, calon N04 Dun Klawang, Haji Bakri Sawir, calon P126 Parlimen Jelebu, Ir Mustafar Kadir.

Turut ditampilkan pada malam tadi ialah penyanyi tersohor tanah air, Aishah.

Selain menyumbangkan dua buah lagu pada majlis berkenaan, Aisyah mengingatkan para pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 Mei ini dengan berhati-hati.

Ini kerana kata beliau, adalah dibimbangi jika kita mengundi sambil lewa dan tidak mematuhi peraturan berkemungkinan ada pihak akan mengambil kesempatan untuk menggunakannya bagi memenangkan BN.

Pada majlis yang sama, Rais Yatim mengingat semua rakyat Malaysia supaya menyatakan rasa terhutang budi mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini masih di dalam penjara.

Kata Rais, apabila Anwar dibebaskan tidak lama lagi, marilah semua rakyat Malaysia menyambut beliau dan menyatakan rasa terima kasih kita atas segala pengorbanannya.

Jelas beliau, budi dan jasa Anwar terlalu besar buat rakyat Malaysia sehingga membawa kepada wujudnya PH seperti yang dapat disaksikan hari ini.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote