Malaysia Dateline

Raja Bahrin: Dari ceramah kepada rahmah untuk semua

Tahun lepas, apabila kerajaan Pakatan Harapan jatuh dan hilang jawatan sebagai timbalan menteri, Datuk Raja Bahrin Shah memulakan rutinnya sebagai pembangkang kembali…berceramah kepada mereka.

Sebelum ini menjadi rutin Raja Bahrin untuk menggunakan truk beliau sebagai pelantar ceramah kepada orang ramai. Kini peranan kenderaan ini sudah bertukar.

Dengan menggunakan kereta Toyota Hilux yang berlogokan parti AMANAH, Raja Bahrin pergi ke pasar dan tempat orang ramai berhimpun berceramah kepada mereka.

Pelbagai isu semasa yang beliau bangkitkan dalam ceramah itu walaupun ia tidak berapa diendahkan oleh orang ramai.

Itulah juga yang dibuat Raja Bahrin sebelum kerajaan PH memerintah…berceramah kepada rakyat.

Namun sejak awal tahun ini, sempena tahun baru 2021, Raja Bahrin mengubah pendekatan beliau.

Dari berceramah menggunakan Toyota Hilux itu, dengan menggunakan kenderaan yang sama, beliau dan pasukannya menghantar barangan keperluan orang ramai.

“Kami namakan Ziarah Rahmah iaitu membawa rahmat kepada pihak yang dikunjungi,” kata Raja Bahrin menceritakan pendekatan baharu beliau dalam berhubung dengan masyarakat.

Beliau mahu memberitahu masyarakat, apabila beliau datang bukan untuk membawa berita buruk negara tetapi berita gembira untuk mereka.

Hari Jumaat adalah hari yang paling sibuk bagi beliau. Sejak Subuh lagi beliau telah turun bertemu masyarakat di kawasan beliau dari surau ke masjid dan seterusnya ke rumah orang yang perlukan bantuan.

Menjadi rutin beliau pada hari Jumaat untuk solat jamaah bersama orang ramai di surau dan masjid. Ketika itulah beliau berkomunikasi dan mendengar segala rintihan mereka di musim PKP akibat Covid-19.

Raja Bahrin kini bergerak bertemu orang ramai untuk membantu mereka yang kesusahan ketika berhadapan dengan PKP akibat wabak Covid-19.

“Melalui Ziarah Rahmah inilah saya banyak mendengar keluhan mereka ketika berhadapan dengan PKP ini,” kata Raja Bahrin, bekas ahli parlimen Pas yang kini adalah Pengerusi AMANAH dan Pakatan Harapan negeri Terengganu itu.

Menurut beliau, melalui ziarah ini, beliau berjalan dari rumah ke rumah secara individu dengan bantuan pasukan beliau.

“Dengan cara ini saya membuat interaksi secara langsung dengan mereka dan keluarga. Kesannya sangat memuaskan,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Selepas itu, Raja Bahrin dengan team Truk Rahmah beliau akan menziarahi penduduk sekitar yang memerlukan bantuan.

Raja Bahrin bertemu dengan peniaga dan pengunjung Pasar Payang sambil memberikan kalendar jadual solat untuk mereka.

Di waktu tengahari pula, Truk Rahmah beliau akan berhenti pula di masjid untuk solat Jumaat bersama penduduk setempat.

Ketika itu, sekali lagi beliau akan menyantuni jamaah di masjid itu dengan diberikan air mineral dan buah-buahan untuk mereka sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

“Biasanya di sini saya bertemu ramai orang dan mendengar pelbagai cerita mereka,” kata beliau lagi yang kini menumpukan kepada mendengar keluhan rakyat dari mereka mendengar keluhan beliau tentang negara.

Selain lawatan rutin itu, di awal tahun 2021 in juga Raja Bahrin menyantuni penjual dan peniaga Pasar Payang, pasar awam yang menjadi tumpuan di negeri Terengganu.

Kalendar waktu solat khas yang direkabentuk oleh Raja Bahrin untuk peniaga dan pengunjung Pasar Payang yang penuh dengan gambar peniaga dan perniagaan mereka. Dengan cara tidak langsung, beliau mempromosi perniagaan mereka bukan lagi mempromosi muka beliau secara langsung.

Di sana beliau membahagikan kalendar waktu sembahyang khas untuk peniaga dan pengunjung pasar itu.

“Saya merekabentuk kalendar waktu solat khas untuk mereka. Di sana ada gambar mereka berniaga di pasar itu. Bukan lagi penuh dengan gambar saya.

“Sambil mendapat waktu solat, mereka juga dapat promosikan perniagaan mereka melalui kalendar itu,” kata Raja Bahrin lagi.

Pendek kata, pendekatan yang dibuat Raja Bahrin sudah berubah, cariĀ  mengkritik dan memburukkan kerajaan yang ada kepada membantu mereka yang memerlukan bantuan ekoran tindakan kerajaan yang tidak bijak itu.

Dari kritik kepada rahmah untuk semua sebagaimana moto parti beliau, ‘Rahmatanlil Alamin” atau “Rahmat untuk semua”.