Raja Bahrin fail saman terhadap portal  didakwa memfitnahnya

Raja Bahrin fail saman terhadap portal didakwa memfitnahnya

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan memfailkan saman terhadap sebuah portal berita yang didakwa memfitnahnya.

Writ saman itu akan difailkan menerusi barisan peguamnya Mohamaed Hanipa & Associates hari ini.

Ia ekoran berita yang ditulis portal MyNewshub bertarikh 7 Januari lalu bertajuk “Wakil rakyat PAN cuti mewah di UK abai mangsa bah”.

“Kita telah membuat surat tuntutan kepada Mynewsnet Sdn Bhd pada 13 Januari lalu. Mynewsnet menafikan memiliki portal Mynewshub tersebut.

“Apa yang kita sukar nak faham jika mereka kata tidak mengetahui berita tersebut mungkin mereka terlepas pandang.

“Tetapi jika menafikan pemilikannya, saya rasa itu amat luar biasa kerana nama mereka digunakan untuk berdaftar dengan suruhanjaya syarikat.

“Kita akan terus buat tindakan undang-undang kerana ia penting. Writ saman akan difailkan hari ini,” katanya pada sidang media di
Wisma Amanah di ibu negara hari ini.

Peguam yang mewakili beliau, Nadzratun Naim Hammad Azizi berkata, pihaknya telah menghantar notis tuntutan kepada portal berita berkenaan agar memohon maaf.

Namun syarikat itu menafikan sebarang kaitan dengan portal berita itu.

Pada 7 Januari lalu Raja Kamarul  Bahrin dalam sidang akhbarnya menafikan beliau tidak bersama mangsa banjir di kawasannya sebaliknya pergi bercuti ke luar negara seperti dilaporkan portal berkenaan.

Beliau mempertikaikan penggunaan perkataan cuti “mewah” dalam berita itu memandangkan beliau ke United Kingdom atas urusan kerja bersama pemimpinan Amanah lain dan menggunakan pesawat komersial.

Sedangkan beliau telah mula memberi bantuan kepada mangsa banjir pada 28 Disember tahun lalu.

TAGS