Pelakon kacukan, Raja Ilya merasa terkejut apabila suaminya yang merupakan warga Australia tiba-tiba memintanya memasak hidangan Pengat Durian.
Lebih mengejutkan, hidangan tersebut bakal disajikan untuk seisi keluarga sempena sambutan Hari Natal yang dirayakan di kediaman mentua pelakon itu di Australia.
Memandangkan durian adalah sejenis buah yang tidak begitu digemari warga asing, Raja Ilya rasa keberatan untuk mengabulkan permintaan suaminya, Trent Garret itu.
Hal ini kerana, Raja Ilya risau jika keluarga mentuanya tidak menyukai Pengat Durian lalu ‘mengharamkannya’ untuk hadir lagi di sambutan Hari Natal di tahun hadapan.
“Al-kisah, saya tanya Trent untuk sambutan Hari Natal dekat rumah mak dia nanti nak Ilya sumbangkan masakan apa. Dalam banyak-banyak benda, tak sangka dia minta Ilya masakkan Pengat Durian.
“Wei matilah, masa itu memang sudah ada dalam fikiran. Habislah, ini mesti Hari Natal terakhir pergi rumah mak Trent. Sah kena ‘banned’ untuk tahun depan,” tulis pelakon berusia 38 tahun itu.
Walau bagaimanapun, pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad itu sekali lagi terkejut apabila mendapati hidangan tersebut dinikmati sehingga ‘licin’.
Bukan sahaja suami, adik ipar dan anak saudaranya yang masih kecil turut tampak begitu berselera ketika menyantap hidangan Pengat Durian disediakan Raja Ilya itu.
Tular di media sosial, perkara itu dikongsikan oleh pelakon yang mula popular menerusi filem Appalam (Papadom versi Tamil) itu di laman Instagram miliknya, pada Hari Natal lalu.
“Punyalah ‘last minute’ minta. Dia ingat Ilya ini Chef Zubir ke, handal memasak! Kelam kabut buat panggilan video dengan Mak dan Kakak saya, tanya macam mana nak buat.
“Nasiblah jumpa durian D24 sejuk beku dengan gula melaka dekat pasar Asia di sini. Tetapi tak sangka Pengat Durianku laku. Bukan sahaja Trent, adik ipar dan baby dia makan sampai licin.
“Lega, nasiblah pengat durianku menjadi. Ini tahun kelima balik ke rumah mak Trent tolong bungkus hadiah, kemas-kemas dan hias kediaman. Siap buat ‘mini playground’ untuk Talita (anak) dan Holy.” Katanya lagi.
Terdahulu, Raja Ilya dan Trent Garret yang merupakan ahli perniagaan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup di Perth, Australia pada tahun 2018 lalu.
Selepas empat tahun berumah tangga, pasangan merpati dua sejoli itu akhirnya diberkati dengan kehadiran cahaya mata sulung perempuan iaitu Talita Love yang kini berusia setahun.
Baca lagi: Dah macam harga Axia Rahmah, ‘TikToker’ tayang beli kereta sorong bayi RM36,000