Malaysia Dateline

Raja Kamarul cabar Raja Petra kemuka bukti tuduhan lobi projek istana

Raja Petra Kamaruddin dibidas sama sekali tidak mempunyai fakta yang kukuh apabila mendakwa Datuk Raja Kamarul Raja Bahrin Shah ‘marah’ kepada Istana Terengganu kerana tidak mengurniakan kontrak istana kepadanya.

Bahkan dalam kenyataanya semalam, Raja Petra mempertikaikan bagaimana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu itu mahu mendapatkan kontrak tersebut, sedangkan isu stadium runtuh ketika dalam pembinaan juga tidak dapat ditangani dengan baik.

Kata Kamarul, Raja Petra mungkin tidak tahu bahawa beliau paling lantang meminta kes bumbung stadium runtuh itu disiasat agar pesalah sebenar ditangkap.

Tegasnya, jika pun beliau didapati bersalah berhubung insiden bumbung tersebut, sebagai ahli politik pembangkang pasti sudah dikenakan tindakan oleh kerajaan atau Lembaga Arkitek Malaysia.

“Sebagai bekas pemaju, Raja Petra sepatutnya mengetahui rekabentuk struktur adalah tanggungjawab jurutera dan bukan arkitek.

“Bagaimanapun sebagai arkitek, tiga kali saya menulis surat secara rasmi menegur peraturan yang tidak dipatuhi.

“Tetapi kontraktor dan pegawai penguasa pihak kerajaan tidak mengambil tindakan sewajarnya hingga berlaku keruntuhan. Ini semua terkandung dalam dokumen minit projek.

“Oleh itu, Raja Petra yang tinggal berbelas ribu kilometer di England janganlah membuat tuduhan melulu berniat jahat tanpa fakta dan asas,” bidasnya yang menyifatkan Raja Petra sudah terpisah dari realiti hidup di Terengganu.

Bukti munasabah

Pada masa sama, Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu juga menegaskan, Raja Petra membuat tuduhan berhubung isu projek Istana Terengganu tanpa mengemukakan bukti munasabah.

Tuduhan itu menurutnya, adalah semata-mata pembohongan berniat jahat untuk memburukkan hubungannya dengan pihak istana.

Hujahnya lagi, dalam tempoh istana dibina, beliau ketika itu sudah sibuk menumpukan hampir sepenuh masa di Putrajaya untuk lima projek utama besar di bawah pengurusan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Azizan.

Justeru itu katanya, beliau tidak mempunyai masa untuk menumpukan kerja di luar Putrajaya.

Malahan, kata Raja Kamarul, tidak timbul isu berhajat atau marah kerana tidak dilantik mengetuai projek istana di Terengganu seperti tuduhan yang dilemparkan.

“Sekali lagi Raja Petra yang telah lama meninggalkan Malaysia tidak mengetahui pun perkembangan organisasi firma arkitek saya dan hanya membuat andaian serta tuduhan membuta tuli seperti biasa.

“Saya tidak pernah berjumpa mana-mana pihak pun untuk membayangkan atau menyatakan hasrat saya untuk melobi projek istana di Terengganu. Saya mencabar Raja Petra mengemukakan bukti tuduhan beliau.

“Inilah seburuk-buruk niat seorang yang berhati busuk berhasrat menjejaskan hubungan kekeluargaan saya dengan istana,” bidas Raja Kamarul lagi.