Malaysia Dateline

Raja Kamarul gesa siasat anugerah projek tanpa pengetahuan Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin digesa untuk segera menjalankan ‘siasatan dalaman’ berhubung dua projek yang diberikan kepada kementerian tersebut secara rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bekas Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata agak hairan apabila Zuraida tidak mengetahui tentang rundingan berkenaan yang membabitkan jumlah RM170 juta.

Beliau juga mencadangkan agar Zuraida melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan terperinci dapat dilakukan.

“Mengikut senarai Menteri Kewangan, sebuah projek stesen pemindahan sisa perpejal di Kepong, Kuala Lumpur, berharga RM170 juta telah dianugerahkan secara rundingan terus.

“Satu laporan akhbar the STAR bertarikh 25 September 2019 pula menyatakan, sebuah projek stesen pemindahan sisa pepejal telah dianugerahkan oleh Bumi Segar Indah Sdn Bhd kepada Widad Group Bhd, sebuah anak syarikatnya, sebagai sub kontrak dengan harga RM120 juta.

“Ramai yang bertanya kenapa kontrak itu tidak diberi terus oleh KPKT kepada Widad Group Bhd dengan harga RM120 juta yang jauh lebih rendah berbanding RM170 juta kepada Bumi Segar Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Zuraida dalam kenyataannya pagi tadi menafikan terlibat dalam pemberian dua projek secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Katanya, beliau tidak tahu menahu tentang dua projek tersebut dan mendakwa ianya dibuat tanpa pengetahuannya.

Zuraida juga memberi jaminan akan melakukan siasatan terhadap isu yang timbul.