Malaysia Dateline

Raja Kamarul tuntut syarikat milik Terengganu perjelas isu laporan tahunan

Sehingga hari ini, Terengganu Development and Management (TDM) Bhd masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan anak syarikat kerajaan negeri itu gagal menghantar laporan tahunan kewangan untuk tiga tahun berturut-turut.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, biarpun desakan sudah dinyatakan, namun setelah hampir seminggu masih tiada lagi respon berhubung perkara berkenaan dari TDM mahupun kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebagai syarikat tersenarai awam, satu kenyataan segera perlu dibuat untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kuala Terengganu melalui Facebook beliau pada 5 September 2020 menyangkal dakwaan saya tentang isu TDM.

“Saya bersetuju 100 peratus dengan beliau bahawa perkara ini sangat aneh dan sangat keterlaluan seperti kata-katanya sendiri. Saya di sini mencabar Amzad Hashim membuktikan perkara tersebut tidak benar.

“Rakyat Terengganu menanti penjelasan rasmi. Kegagalan menghantar laporan tahunan syarikat kepunyaan negeri yang disenaraikan di Bursa Saham amat memalukan dan menggemparkan rakyat Terengganu,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, TDM dilaporkan tidak menghantar Laporan Kewangan Tahunan 2017, 2018 dan 2019 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekaligus melanggar Akta SSM Seksyen 68(1).

Menurut Kamarul, TDM juga dipercayai belum menghantar laporan Audit Kewangan 2019 dan tindakan itu juga telah melanggar Akta SSM Seksyen 259(1)(a).

“Saya di sini meminta kerajaan negeri dan TDM mengesahkan dakwaan ini. Adakah ini benar seperti yang dilaporkan?” soalnya lagi.