Raja Muda Perlis mahu pusat banjir diurus pihak berkuasa

Raja Muda Perlis mahu pusat banjir diurus pihak berkuasa

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pusat pemindahan banjir diuruskan pihak berkuasa dan tidak membiarkan pihak luar campur tangan menguruskannya.

Baginda juga menyaran agar mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan yang diiktiraf oleh Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Selain itu baginda meminta agar mangsa banjir mematuhi arahan pihak berwajib selain menjaga keharmonian dan sensitiviti dan bertanggungjawab memelihara peralatan di pusat pemindahan.

Oleh kerana pusat pemindahan selalunya berupa premis sekolah, beta mahu segala peraturan seperti larangan merokok sentiasa dipatuhi, titah baginda semasa meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bintong di sini semalam.

Pada masa sama baginda meminta rakyat agar bersabar dalam menghadapi bencana banjir.

Kita harus mengambil iktibar untuk muhasabah diri, menilai, mengkaji dan membuat bedah-siasat punca bencana ini yang berulang beberapa kali sejak tahun 2010, titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Baginda berharap maklumat berkaitan banjir yang diberikan khusus oleh Jabatan Meteorologi disiarkan melalui radio dan televisyen selain media sosial agar rakyat dapat membuat persiapan awal.

CATEGORIES
TAGS