Raja Nong Chik dengar ceramah Nik Abduh

Raja Nong Chik dengar ceramah Nik Abduh

Bersesuaian dengan tajuk Ceramah Perdana ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’, pemimpin Pas dan Umno terus dilihat saling menyokong dalam satu program yang sama.

Sejumlah foto memaparkan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin mendengar ceramah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz pada 22 Januari lalu berlegar di media sosial.

Imej yang memaparkan lapan foto berkaitan program yang berlangsung di Masjid Ar-Rahman dekat Universiti Malaya itu disediakan oleh Media Umno Lembah Pantai.

Menurut catatan pada imej tersebut, Nong Chik yang merasmikan Tabung Dana Pembangunan Masjid Ar-Rahman dan bersama dengan anak kariah mendengar ceramah itu.

Turut disertakan ungkapan, “Biar politik nilai & makna bukan politik fitnah & persepsi jadi pengukur” lengkap dengan logo Umno dan BN.

Program anjuran Majlis Permuafakatan Masjid dan Surau Lembah Pantai dengan kerjasama Masjid Ar-Rahman itu berlangsung pukul 8 malam.

Sebelum Nik Abduh yang berpakaian biru muda berceramah di atas sofa disediakan, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat duduk bersebelahan Nong Chik yang berbaju Melayu warna jingga muda.

Kedua-duanya berkopiah putih tetapi Nik Abduh berkain pelikat manakala Nong Chik yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berseluar warna perang.