Malaysia Dateline

Raja Norazli dilantik YDP Majlis Perbandaran Jempol yang pertama

Kerajaan negeri bersetuju melantik Timbalan Pentadbir Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Jempol Raja Norazli Raja Nordin, 54, sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol yang pertama.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata bagaimanapun, beliau sekarang memangku jawatan itu dan menjalankan tugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol.

Katanya Raja Norazli yang lahir di Pahang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik Komunikasi dan Sarjana Sains Pembangunan dan Pentadbiran Tanah.

“Pelantikan beliau mengambil kira pengalaman luasnya dalam sektor awam terutamanya dalam bidang pengurusan pentadbiran dan pembangunan di Jempol sejak tahun 2004 lagi.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri juga melantik Datuk Mohd Hanif Hassan, 44, sebagai Pegawai Daerah Jempol yang baharu berkuatkuasa 21 Nov lepas. Beliau yang berasal dari Pulau Pinang sebelum ini bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Mohd Hanif berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Katanya pelantikan mereka berdua berikutan Majlis Daerah Jempol (MDJ) akan diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Jempol (MPJ) pada 29 Jan 2019.

Katanya majlis pengisytiharan MPJ akan disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di hadapan bangunan MDJ.

“Pengisytiharan MPJ ini juga adalah di antara program sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang ke-71. Dengan pengisytiharan itu nanti MPJ akan menjadi majlis perbandaran keempat di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Port Dickson,” katanya.

Sementara itu, katanya Mohd Zaidi Ramli, 47, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa 15 Nov lepas.

Katanya Mohd Zaidi yang berasal dari negeri ini sebelum ini bertugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau menggantikan Datuk Selamat Paigo yang bertukar ke Jakim.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dua sekolah luar bandar di negeri ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pilin, Rembau dan SK Peradong, Jelebu mencapai keputusan 100 peratus dalam peperiksaan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 yang diumumkan hari ini.

“Hampir 10 peratus sekolah di negeri ini melepasi pencapaian 90 peratus kebolehan murid menguasai mata pelajaran yang diambil. Ini adalah satu pencapaian membanggakan serta keputusan yang baik dan saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan, guru-guru, sekolah-sekolah serta ibu bapa yang memberikan sokongan dan dukungan memastikan kejayaan sekolah dan anak-anak mereka,” katanya.

— BERNAMA