Raja Perlis mahu rakyat sentiasa suburkan perpaduan kaum

Raja Perlis mahu rakyat sentiasa suburkan perpaduan kaum

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya sentiasa menyubur dan memperkasa semangat perpaduan yang telah tersemai dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Menurut baginda, peristiwa 13 Mei 1969 memberi kesan besar kepada negara kerana ia merobek ikatan perpaduan rakyat dan mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan.

Bertitah pada majlis Malam Perlis 2017 anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di ibu negara malam tadi baginda menasihati pihak tertentu supaya tidak menunjukkan sikap untuk menjadi juara dengan tindakan-tindakan yang menyentuh perasaan kaum lain termasuk melalui kritikan agama.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengimbau kenangan baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong apabila banyak negara maju termasuk Sweden dan Finland memuji Malaysia kerana perpaduan rakyat berbilang kaum.

Baginda bangga Malaysia dianggap negara contoh umpama sebuah ‘Mini’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kelebihan aset ini hendaklah dikekalkan malah ditambah baik oleh setiap peringkat kepimpinan sampailah ke akar umbi.

Seramai 750 anak Perlis di perantauan khususnya yang bermastautin di sekitar Lembah Kelang hadir pada majlis yang dianjurkan PPKL secara dwi tahunan itu.

PPKL yang ditubuhkan 42 tahun lepas kini diterajui Datuk Azmi Talib dengan keanggotaan seramai 1,300 orang.

CATEGORIES
TAGS