Malaysia Dateline

Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019

Raja Permaisuri Agong meletakkan tangan sebagai simbolik pelancaran.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras.

“Sebagai seorang yang begitu memartabatkan warisan tradisional, sudah tentu saya akan hadir kerana begitu minat dengan kraf dan warisan,“ titah Baginda ketika merasmikan festival berkenaan.

Baginda hadir bersama puteri Baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah kira-kira jam 2.45 petang disambut dengan alunan muzik tradisional gamelan dan persembahan tarian pembukaan oleh artis budaya DBKL.

Kehadiran Baginda disambut oleh isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah.

Antara busana yang diperagakan sempena Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019.

Baginda seterusnya berkenan merasmikan festival itu dengan meletakkan tangan Baginda di atas skrin yang disediakan sebagai gimik pelancaran.

Selepas majlis pelancaran, Tunku Azizah turut menerima tengkolok berwarna hitam bertekad benang emas yang direka khas untuk Baginda sebagai tanda menjunjung kasih di atas kehadiran Tunku Permaisuri ke festival tersebut.

Usai menyaksikan persembahan busana tradisional selama tiga puluh minit, Tunku Azizah berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat reruai yang menjual songket, batik dan perhiasan tradisional sebelum berangkat pulang.

Festival yang sudah memasuki tahun ketiga ini, disertai seramai 50 pereka fesyen dari seluruh negara yang bertanding dalam pertandingan yang bertemakan ‘Busana Kebangsaan’.

Dalam pertandingan tersebut, seramai lima juri iaitu Hatta Dolmat, Man Kajang, Shanell Harun, Shazreeyana Syukri dan Miss Grand Malaysia 2017 (Sanjeda John) akan memberi penilaian dan pemarkahan dalam festival anjuran bersama pereka fesyen Dwen Raha dan lain-lain.

Festival ini dianjurkan bertujuan mengangkat, memartabat serta mengekalkan keunikan tradisi busana yang pelbagai dan unik yang tidak terdapat di negara lain.