Pendirian Raja-Raja Melayu tentang keharmonian kaum wajar didokong

Pendirian Raja-Raja Melayu tentang keharmonian kaum wajar didokong

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendukung pendirian tegas Raja-Raja Melayu berhubung isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama serta penegasan mengenai keperluan memahami dan menghormati prinsip-prinsip murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutan.

Katanya, pendirian Raja-Raja Melayu adalah ibarat cahaya yang menyuluh – memimpin rakyat mendepani cabaran semasa termasuk menjawab tindakan melampau individu dan kumpulan yang mengugat kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia perlu menjunjung pedoman Raja-Raja Melayu tentang sifat Islam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Pedoman Raja-Raja Melayu menzahirkan keutuhan institusi Raja Berperlembagaan dan peranan signifikan Raja-Raja Melayu sebagai suara nurani dan aspirasi rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru kata Timbalan Presiden PKR ini lagi dengan penuh rasa tawadhu beliau ingin menyatakan bahawa prinsip-prinsip toleransi, kesederhanaan dan keharmonian yang disegarkan dan ditegaskan semula oleh Raja-Raja Melayu akan terus menjadi tiang seri menerajuiKerajaan Negeri Selangor.

“Atas prinsip ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya Negeri Selangor untuk menolak ‘gutter politics’ budaya samseng dan fahaman rasis.

“Marilah kita bersama membangunkan sebuah bangsa yang gagah, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Azmin mengulas kenyataan media Majlis Raja-Raja Melayu hari ini yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang dipetik berkata, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.

Majlis Raja-Raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat berbilang agama dan berbilang kaum di negara ini.

6.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 4.0
CATEGORIES
TAGS