Malaysia Dateline

Raja-Raja Melayu syarahkan Muhyiddin

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad mengulangi desakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri susulan kenyataan media oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed semalam.

Khalid secara sinis berkata, Muhyiddin boleh berbuat demikian sama ada menerusi ‘pintu’ atau ‘atap’ meminjam istilah Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menganggap kerajaan yang dibentuk oleh Perikatan Nasional (PN) dibuat secara tebuk ikut atap.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak memahami sistem pemerintahan negara sehingga terpaksa diberi syarahan oleh Raja-Raja Melayu.

“Sebagai ketua eksekutif, ketua pelaksana dalam sistem Demokrasi Berparlimen awak (Muhyiddin) tak faham sistemnya? Sehingga terpaksa diajar dan disyarahkan oleh Raja-raja Melayu?

“Sanggup sabotaj sistem melalui darurat kerana nak terus berkuasa? Letak jawatan. Pilih saja pintu atau atap mana,” tempelaknya.

Malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad berkata, Yang di-Pertuan Agong berperanan mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Menurut Syed Danial, Raja- raja menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang, dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata

Mengulas kenyataan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan bertanyakan sama ada Muhyiddin dan menteri-menteri kerajaan PN malu kerana tidak memahami aspek kenegaraan.

“Aduh, tak malu ke PM dan Menteri-menteri kerajaan PN ni? Dahlah tiada majoriti, tak faham sistem rupanya,” katanya lagi.