Malaysia Dateline

Rakam FB Live ganggu proses siasatan polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tindakan merakam gambar atau video pihak polis sedang menjalankan siasatan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengingatkan setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya apatah lagi ditularkan di media sosial.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan hari ini susulan penahanan seorang lelaki Cina berusia 23 tahun yang membuat rakaman secara langsung menerusi Facebook (FB live) ketika serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya.

“PDRM menegaskan bahawa tindakan merakam gambar atau video bukan satu kesalahan jenayah.

“Bagaimanapun, demi kepentingan siasatan, sekiranya gambar atau video tersebut dikongsi, disebar dan ditularkan di media sosial atau apa jua cara sekalipun, ia boleh mengganggu proses siasatan polis.

“Dan juga bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Polis sedang menyiasat kumpulan pelajar Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) susulan hantaran bertajuk “YDPA should not interfere in national affairs’ mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdapat 41 laporan polis turut dibuat terhadap hantaran tersebut.

Sementara itu, FB Umany pada 7 November lalu memuat naik hantaran dalam bahasa Cina sepenuhnya berkenaan tangkapan terhadap individu berkenaan.

Laman rasmi pertubuhan pelajar UM beridentitikan kaum terbabit turut menyiarkan gambar salah seorang anggota polis yang melakukan serbuan mengikut Seksyen 8(2) Akta Hasutan 1948 itu.

Umany mendakwa pasukan polis terbabit telah merampas komputer riba dan telefon bimbit milik Robin Yap manakala bekas Presiden UMANY, Wong Yan Ke yang membuat rakaman FB live itu diberkas dan dihantar ke IPD Petaling Jaya.

Walau bagaimanapun, Huzir dalam kenyataannya memaklumkan polis merampas satu unit telefon bimbit jenama Iphone berserta kad SIM.

Beliau turut menjelaskan pegawai serbuan yang memakai vest polis telah menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki Cina yang berada dalam rumah itu sebelum mula menggeledah.

Namun, jelasnya, individu itu enggan memberi kerjasama dengan mengunci pintu dari dalam sebelum seorang wanita Cina yang mengaku peguam dan seorang lelaki Cina lain tiba di lokasi tersebut.

“Lelaki Cina yang baru sampai berkenaan telah membuat rakaman secara langsung melalui Facebook (FB live) dengan menggunakan telefon bimbitnya.

“Pegawai serbuan telah beberapa kali memberi amaran agar menghentikan tindakannya, namun beliau masih tetap meneruskan rakaman,” kata Huzir lagi dipetik dari kenyataan medianya.