Rakam lelaki tua bersih kawasan dan kutip ‘angpao’, warganet mohon MBPP maafkan sahaja

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang kakitangan kerajaan menularkan sebuah video yang memaparkan lelaki mengutip ‘angpao’ di sebuah kejiranan di Pulau Pinang mengundang kecaman daripada ramai orang.

Menerusi video tersebut, perakam dilihat memarahi lelaki yang berkeliaran mengutip wang dan limau dengan memakai t-shirt seragam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Menurut perakam yang juga pekerja MBPP, tindakan lelaki tua seperti meminta sedekah di Tahun Baru Cina itu telah menconteng arang dan mencemarkan nama baik syarikat.

Hal ini kerana, lelaki yang berlagak seperti tukang sapu itu bukanlah petugas pembersihan MBPP sebaliknya hanya menyamar bagi meraih simpati orang ramai.

“Abang division mana? Buka ‘face mask’, abang duk kutip duit raya rumah orang. Satgi (nanti) nama kami busuk. Tahun lepas kami kena dah,” ujar perakam video dengan nada tegas.

Mengakui kesalahannya, lelaki tua itu memohon maaf atas perilakunya kepada perakam video namun tidak dihiraukan kerana menurutnya lelaki itu perlu memohon maaf kepada majikannya.

lelaki
#image_title

“Abang mai (datang) duk wayang-wayang (tipu) sapu apa semua. Pastu depa (mereka) kata MBPP duk kutip duit raya kat rumah orang. Kami tak pernah minta kat rumah orang bang.

“Jangan macam ini. Mau tak mau la (sekarang) ni saya terpaksa hantar kepada bos saya sebab tahun lepas kami kena teruk,” tambahnya.

Walaupun kesalahan lelaki tersebut memberi impak kepada nama baik MBPP, namun orang ramai tidak bersetuju dengan tindakan kakitangan memuat turun video tersebut.

Rata-rata pengguna media sosial berkongsi reaksi mereka selepas video tersebut di ulang muat turun di akaun sosial media Twitter.

Menurut mereka, kakitangan tersebut perlulah mengikut prosedur yang betul dalam menangani masalah itu dan menuntut agar pihak majlis memaafkan perbuatan lelaki tua terbabit.

“Faham apa yang dia buat itu salah tapi dia bersihkan jalan dan ambil buah sahaja. Mungkin keadaan terdesak. Angpao paling banyak pun RM5 atau RM10, bukan berbillion. Maafkan pakcik itu. Kesian,” kata pengguna Twitter bernama Sherrymz.

“Jadi apa maksud anda dengan viralkan (video) ini? Anda sudah berdepan dengan dia. Nak upload (muat naik) kenapa, siap suruh bukak mask, record, tanya soalan sama berulang kali,” kongsi pengguna lain.

Seorang pengguna bernama Sulaiman Hamzah turut berkongsi komen mencuit hati kerana menurutnya, lelaki yang menyamar sebagai staf MBPP itu seorang yang bijak mengambil peluang.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan kewangannya, sekurang-kurangnya dia tidak berada di luar sana meminta-minta daripada orang ramai. Dia seorang usahawan, tahu permintaan dan untung daripada penawaran,” katanya.

Baca juga: Lelaki pukul isteri sehingga koma bebas dari penjara, adik ipar doa agar dilaknat tuhan