Malaysia Dateline

Rakam pesalah trafik masa balik beraya nanti, boleh hantar terus ke [email protected]

Orang ramai selepas ini boleh mengambil gambar pemandu yang melanggar peraturan jalan raya dan menghantar terus pada aplikasi e-Aduan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) sebelum ini menjangkakan lebih 2 juta kenderaan melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan susulan tempoh musim perayaan hujung minggu ini. 

Justeru itu pasti banyak kes pemandu yang melanggar peraturan dan untuk itu, aplikasi [email protected] boleh dimuat turun di telefon masing-masing untuk menyalurkan aduan secara mudah.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, berkata melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu memuat naik gambar atau video kesalahan jalan raya yang berlaku di depan mereka, selain lokasi dan waktu kesalahan.

“Orang ramai terlebih dahulu perlu dapatkan ID awam dalam laman sesawang: jpj.gov.my untuk mendaftar di aplikasi berkenaan. Orang ramai juga perlu mengaktifkan sistem kedudukan global (GPS) bagi memudahkan pengesanan lokasi.

“Aduan yang dibuat perlu lengkap dengan waktu, tempat, video dan gambar bagi memudahkan siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

JPJ juga dilaporkan akan melaksanakan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Katanya, Ops HRA 2022 akan dilaksanakan melalui pendekatan advokasi serta penguatkuasaan dengan objektif utama memastikan persekitaran jalan raya sentiasa selamat, dan seterusnya menurunkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya.

Baca juga: Kisah pengorbanan nenek habiskan sisa hidup menjaga cucu autisme

Baca juga: 4 tabiat yang boleh rosakkan kereta, no 4 kegemaran rakyat Malaysia