Malaysia Dateline

Rakaman audio Anwar: Hentikan politik fitnah, kata Agus

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menyelar tindakan politik fitnah yang masih berleluasa di dalam negara, yang kini ke arah menjadi Malaysia Baharu.

Beliau berkata demikian mengulas tentang tersebarnya tiga rakaman audio yang didakwa sebagai ucapan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakaman pertama tentang Anwar meminta Rafizi Ramli melawan Azmin dalam pemilihan parti kerana mendakwa Azmin telah menjadi “barua Mahathir”.

Rakaman kedua mengkritik Mahathir kerana melantik diri sendiri menjadi pengerusi Khazanah Nasiona dan rakaman ketiga tentang skandal forex pada 1990-an ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Mengulas perkara itu, Agus percaya rakaman audio yang tersebar itu adalah palsu kerana cara meniru gaya suara Anwar setaraf dengan pelajar kolej yang sedang menyiapkan projek multimedia mereka.

“Kenapakah taktik sebegini masih digunakan untuk membunuh karekter politik Anwar? Apakah untuk menimbulkan permusuhan antara Anwar dengan Mahathir? Apakah untuk memecahkan PH?’ soal beliau di Facebooknya.

Jika itulah tujuannya, beliau meminta pihak yang bertanggungjawa menghentikan perbuatan tersebut kerana rakyat tidak percaya dengan taktik tidak bertamadun seperti ini.

“Sekarang kedua-dua mereka sudah berdamai. Anwar pun sudah berulang kali memberitahu beliau menyokong kepimpinan Mahathir.

“Berilah peluang kepada kedua-duanya untuk menguruskan pemerintahan negara tanpa menggoncang hubungan mereka. Jika ada perbezaan dasar dan politik, bahaslah secara berfakta. Inilah cara terbaik yang perlu kita lakukan,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa menyiasat penyebaran audio ini dan mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Orang yang memfitnah patut ditangkap dengan segera. Jangan biarkan politik fitnah sebegini menjadi budaya berpolitik di negara kita. Pesan saya, ingat dosa pahala,” tulisnya.

Terdahulu, Anwar menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam rakaman audio itu yang tersebar di aplikasi Whatsapp bermula semalam.

“Cara jawab tidak betul ‘suara saya’ saya tidak guna bahasa-bahasa kesat, barua bukan bahasa saya, jangan terpengaruh dengan fitnah,’ katanya.