Malaysia Dateline

Rakaman audio: Rakyat diingatkan kritik isu, bukan ‘serang’ peribadi Latheefa

Rakyat di negara ini diingatkan agar belajar mengkritik kerajaan atau agensi kerajaan berdasarkan hujah serta berteraskan isu dan bukannya peribadi, kata Peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamad Yunoos.

Beliau berkata, sebarang perbuatan mencalar reputasi mana-mana individu adalah satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, dan ia perbuatan tidak bermoral yang arus dielakkan.

” Rakyat Malaysia perlu belajar kritik Kerajaan atau agensi Kerajaan berdasarkan hujah-hujah serta berteraskan isu-isu dan bukannya peribadi kerana yang pentingnya ialah niat kritikan adalah samada untuk pembaikkan dan menegur yang dikira salah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya semalam, yang dipetik berkata, terdapat satu komplot yang didalangi individu dan peguam untuk mengedarkan material bertujuan  mencalarkan reputasi peribadinya, susulan pendedahan beliau mengenai rakaman audio yang membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd  Najib Razak dan tujuh individu lain pada 8 Januari lepas.

Jahaberdeen yang mempunyai firma guamannya berkata, isu yang perlu dibincang, samada adakah wajar (proper) mana-mana agensi penguatkuasa mendedahkan maklumat-maklumat tertentu yang diterima daripada mana-mana pemberi maklumat kepada rakyat dalam keadaan tertentu.

Justeru katanya, isu ini (rakaman audio) tidak harus digelincirkan melalui percubaan untuk “menyerang” Latheefa secara peribadi.

“Saya juga berpendirian bahawa Rakyat harus menjaga reputasi setiap ketua setiap Institusi-institusi dalam Negara kecuali ada perkara-perkara yang terpaksa di dedahkan demi kepentingan Negara.

“Saya menyeru mana-mana pihak, untuk berhenti menyerang Puan Lateeha Koya secara peribadi dan fokuslah pada isu-isu berkaitan SPRM dan Kedaulatan Undang-Undang,” ujarnya.

Jahaberdeen sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan SPRM mendedahkan rakaman audio kepada pihak media.

Rakaman audio itu  menjadi viral di media sosial dan mendapat kritikan  pro dan kontra  hingga mengundang beberapa kenyataan yang mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM itu meletakkan jawatan kerana mencemarkan imej peguam dan SPRM.

Ketua Polis Negara Tan Sri  Abdul Hamid Bador dalam kenyataan semalam dipetik berkata akan memanggil Latheefa mengenai rakaman audio tersebut kini masih dalam siasatan polis.