Malaysia Dateline

  • Berita
  • Negeri
  • Rencana
  • Kolumnis
  • Antarabangsa
  • Pencerahan
  • DatelineTV
  • Sumbangan
  • Hubungi Kami
Malaysia Dateline
Rakaman audio: SPRM serah kepada PDRM

Rakaman audio: SPRM serah kepada PDRM

BernamaJanuary 10, 2020 7:23 am




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan sebahagian rakaman audio berhubung kebocoran maklumat berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd kepada pihak polis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata rakaman audio didakwa daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perbualan lain bagi peringkat pertama sebelum pihaknya akan menghantar rakaman yang selebihnya kepada pasukan beruniform itu.

“Kita telah memaklumkan polis dan menyerahkan rakaman audio untuk ‘first round’. Tunggulah polis buka kertas siasatan dan sebagainya. Sudah tentu apa yang kami dedahkan perlu disiasat,” katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada Khamis sempena lawatan kerja yang pertamanya ke negeri ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan netizen bahawa pendedahan itu dibuat menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Latheefa berkata ia adalah hak masing-masing untuk memberi pandangan.

Mengulas mengenai kenyataan peguam kepada bekas Perdana Menteri, Muhammad Shafee Abdullah yang melaporkan sedang mempertimbang untuk memulakan tindakan penghinaan mahkamah terhadap dirinya dan SPRM, Latheefa berkata mereka berhak untuk melakukan sebarang tindakan susulan pendedahan itu.

Pada sidang media semasa pendedahan audio itu, pagi semalam, Latheefa berkata individu yang mendedahkan maklumat AGC kepada Najib pada 2016 itu dikenalpasti sebagai TPR Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ketika itu yang dinaikkan pangkat pada Ogos tahun yang sama untuk menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Selain Najib dan Dzulkifli, beliau turut menamakan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing – seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat – dari Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu.

Sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit yang disahkan berlaku antara 5 Jan dengan 29 Julai 2016 itu diterima SPRM baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata SPRM akan menempatkan seorang pegawainya di pejabat Menteri Besar Perak dan unit integriti Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebagai usaha mencegah jenayah rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh kira-kira sebulan lagi.

Latheefa berkata pegawai SPRM yang ditempatkan berperanan untuk memberi nasihat termasuk cara memproses aduan yang diterima berhubung sebarang salah laku dan jenayah rasuah.

Beliau berkata, cadangan menempatkan pegawai kanan SPRM di pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri memperoleh respons yang amat positif.

“Kami telah mula menempatkan pegawai di Sabah pada 2 Jan dan memperoleh persetujuan dari negeri Kedah manakala negeri lain masih dalam perbincangan dari segi perjawatan dan beberapa kriteria,” katanya.– BERNAMA

 

malaysiadateline.com adalah portal berita percuma yang menyajikan naratif luhur untuk pembaca budiman.

Sumbangan anda adalah penting untuk kelangsungan portal ini. Sila klik butang ‘support us’ dan sumbangan anda adalah sangat dihargai.

 





widget-image
widget-image

Popular

Peniaga pisang goreng anggap timbalan menteri “agak kurang sopan”

Annuar sahkan Anwar cukup sokongan jadi PM?

Darurat untuk selamatkan kerajaan yang sudah jatuh?

Rakyat Kelantan bina jambatan guna batang kayu, duit kerajaan negeri beli Mercedes Benz

PENDAPAT: PN bercempera pun salah DAP

Terkini

Hanipa minta gerai jual burger dibuka hingga jam 12 malam

Vaksin COVID-19: Khairy kecewakan rakyat Malaysia

4,029 kes baru tertinggi direkodkan hari ini

Muhyiddin digesa sahkan kesahihan surat projek bina dewan RM35 juta

Polis tidak kompromi, penganjur edar ayam beku didenda

Malaysia Dateline
Terima Kasih kerana mengunjungi kami.
SEARCH SOMETHING
© 2017 Malaysia Dateline. All rights reserved. Designed by Media Oren Production