Malaysia Dateline

Rakaman audio: Usaha mahu singkirkan Zahid kerana putuskan kerjasama politik

AMANAH menganggap rakaman audio yang tular membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan percaturan yang dirancang kumpulan tertentu untuk menyingkirkan Ahmad Zahid.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan wujud satu usaha di pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbulkan kemarahan akar umbi Umno terhadap Presiden mereka kerana dendam Bersatu susulan tindakan Umno yang mahu memutuskan kerjasama politik.

“Penyebaran yang sangat meluas ini menggambarkan satu usaha nak mengatur langkah bagi menyingkirkan Zahid Hamidi supaya jawatan Presiden itu dapat diambil alih oleh orang lain dan mengembalikan Umno kepada Muhyiddin serta Bersatu.

“PN merasakan bahawa pendirian Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini yang mahu bergerak secara solo dalam pilihan raya sangat membimbangkan mereka.

“Bagi mereka ini akan mnyebabkan kekalahan kepada PN kerana Bersatu tidak mempunyai kekuatan. Bersatu sangat mengharapkan nilai tambah yang diberikan oleh Umno dan Pas,” katanya dalam satu klip video di Facebooknya.

Untuk rekod, PAU 2020 telah memutuskan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu sekaligus menetapkan bahawa Umno menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Bersatu sedar nilai tambah yang diharapkan dari Pas sama sekali tidak dapat membantu mereka untuk memenangi pilihanraya.

Kerana itu katanya, pelbagai rancangan sedang diatur kerana Bersatu kini sedang kegelisahan memikirkan pendirian Umno.

Pada masa sama, Mahfuz mengakui adalah sukar untuk memastikan sama ada audio yang tersebar itu tulen atau tidak.

Terdahulu, ssulan tersebarnya rakaman perbualan Zahid dan Anwar, Presiden Umno itu terus menerima tekanan dari ahli-ahli parti untuk meletakkan jawatan.

Mereka juga menyarankan Zahid berehat dari kedudukannya dan membuka peluang kepada pimpinan lain untuk mengetuai parti.