Malaysia Dateline

Rakaman CCTV Timbalan Menteri tunjuk ‘jari tengah’ tidak jelas, kata Speaker

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perlakuan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, Willie Mongin menunjukkan ‘jari tengah’ seperti didakwa pembangkang adalah tidak jelas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memutuskan sedemikian ketika menjawab usul yang dikemukakan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Klang) berhubung kejadian semalam.

Justeru, Azhar berkata beliau tidak dapat memastikan perlakuan melibatkan Ahli Parlimen Puncak Borneo dari Bersatu itu benar-benar berlaku.

“Saya tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak dan semalam saya juga ada pertemuan dengan Timbalan Menteri dan beliau menafikannya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan itu, Khoo Poay Ting (PH-Kota Melaka) yang mencelah mahu mengemukakan video yang jelas mengenai perlakuan menunjukkan ‘jari tengah’ kepada Speaker Dewan Rakyat.

Azhar berkata, beliau bersedia dan mahu Khoo mengemukakan video itu kepada beliau selepas persidangan Dewan Rakyat.

“Terima kasih Kota Melaka, saya jemput ke kamar saya untuk kemukakan video berkenaan,” katanya.

Semalam, sidang Dewan Rakyat kecoh apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa Willie menunjukkan isyarat ‘jari tengah’ kepada mereka.

RSN Rayer (PH-Jelutong) menuntut Azhar untuk tidak menganggap itu sebagai jenaka sebaliknya meminta Willie untuk meminta maaf kerana menghina terutamanya kepada wanita.

Bagaimanapun, Azhar hari ini ketika menjawab celah Datin Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) menegaskan beliau sudah membuat keputusan dan tidak memerlukan keterangan saksi.

Azhar memberi reaksi begitu walaupun Yee Kew mengakui paling jelas melihat perlakuan Willie itu.

Dalam perkembangan sama, Lim Lip Eng (PH-Kepong) meminta Speaker menggunakan keterangan saksi kejadian dan tidak bergantung semata-mata kepada bukti CCTV seperti dilaksanakan di mahkamah.

Azhar menyatakan perkara itu tidak perlu dan beliau mahu melihat terlebih dahulu video yang bakal dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka.

Mengenai cadangan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) supaya rakaman CCTV itu ditayangkan semula di Dewan Rakyat, Azhar juga menyatakan perkara itu tidak perlu.