Malaysia Dateline

Rakan bantu wang jaminan, Ahmad Maslan sempat lagi berpantun

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu dari segi wang jaminan.

“Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan yang membantu wang jaminan RM500,000.

“Kalau mereka tidak membantu, saya rasa saya berada dalam penjara, tetapi syukur ramai kawan-kawan membantu dari segi wang jaminan itu,” katanya.

Ahmad meluahkan demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di Jalan Duta hari ini selepas selesai urusan membayar wang jaminan tersebut.

Dalam sesi temuramah itu, Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan sempat membacakan pantun empat kerat di hadapan pengamal media.

“Panglima berani pantang kalah,

Badannya sasa kehitaman,

Saya ini tidak bersalah,

Menjadi mangsa kezaliman.”

Sementara itu, Hamidi Mohd Noh peguam kepada Ahmad Maslan meminta kerjasama semua pihak agar tidak memberi sebarang tanggapan negatif kepada anak guamnya itu.

“Ini kerana, anak guam saya (Ahmad) sedang melalui satu proses pengadilan yang mana beliau telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Hari ini anak guam saya mengaku tidak bersalah. Itu satu fakta yang sangat penting. Kes ini sedang dibicarakan dan kami akan lawan dalam sesi perbicaraan.

“Sesiapa pun tidak boleh memberitahu bahawa orang itu sudah bersalah atau orang itu telah melakukan (kesalahan). Kita belum mengetahui lagi beliau sudah buat atau tidak buat,” ujarnya lagi.

Hari ini, Ahmad Maslan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad juga didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada LHDN.

Shahrir, 71, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Untuk makluman, Ahmad dibicarakan di Mahkamah Sesyen 14, manakala Shahrir di Mahkamah Sesyen 9 yang terletak bersebelahan.

Semalam, Shahrir dan Ahmad Maslan, ditahan SPRM atas kesalahan berkaitan pengubahan wang haram.

Shahrir ditahan jam 11.22 pagi semalam, manakala Ahmad ditahan jam 10.10 pagi ketika hadir memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.